RAMAI SANGGAH MIMPI BASAH HUSAM HADI AWANG JADI #PMMalaysia


Pelbagai pihak berpendapat, terlalu awal untuk PAS bercakap soal pemimpinnya menjadi perdana menteri sama ada daripada segi jumlah sokongan terhadap mereka atau pun cadangan polisi untuk rakyat.


Mereka berpandangan cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar dipilih menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sukar direalisasikan berikutan parti itu belum mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, berkata persediaan PAS untuk menjadi pemimpin dalam PR masih berada di tahap rendah kerana sokongan yang diterima parti Islam itu masih lemah berbanding dengan harapan untuk menjadi Perdana Menteri kerana banyak perubahan harus dilakukan.

“Pemimpin PAS masih belum layak untuk mencadangkan pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri kerana PKR dan DAP juga mempunyai pemimpin Melayu.

“Jika PAS menggunakan hujah mereka mewakili parti Melayu-Islam untuk menjadi Perdana Menteri maka saya berasa mereka membawa mentaliti Umno dalam PR kerana pelantikan itu tidak berdasarkan merit sebaliknya berdasarkan bangsa semata-mata,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Husam semasa berucap di Muktamar PAS ke-59 pada Ahad berkata, beliau mahu melihat Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri sebelum dia mati walaupun untuk sehari.

Katanya, cadangan itu seharusnya menjadi agenda perjuangan parti dan perlu dibincang oleh seluruh saf kepimpinan untuk direalisasikan.

Wan Saiful berkata, PAS masih gagal mendapatkan sokongan orang Melayu serta parti itu juga masih lemah daripada segi cadangan polisi kepada rakyat.

Katanya, perjuangan PAS yang hanya mendukung ideologi Islam sahaja tidak memadai untuk mendapat sokongan pengundi Melayu kerana rakyat Malaysia sendiri mahu ideologi dasar pembangunan negara dibentangkan PAS.

“Jika berdasarkan sokongan Melayu memang kurang daripada segi bilangan dan hujah pula masih lemah. PAS bukan sahaja gagal mengumumkan dasar yang boleh menarik sokongan rakyat malah mereka juga gagal menawarkan sebarang posisi yang konkrit kepada rakyat.

“Selagi mereka tidak berbicara tentang polisi terbaik maka saya fikir sesiapa pemimpin PAS pun sukar menjadi pemimpin PR,” katanya dan berpendapat PAS hanya boleh berbicara jawatan Perdana Menteri dalam PR sekiranya menjadi juara dalam polisi negara.

Beliau berkata, PAS sememangnya parti yang tidak layak untuk berbicara tentang jawatan Perdana Menteri kerana jumlah kerusi parlimen yang diperolehinya masih rendah berbanding PKR dan DAP.

“Bilangan ahli parlimen PAS paling kecil berbanding parti lain dalam PR maka dalam keadaan PAS masih gagal menjadi parti majoriti dalam PR, apa hak dia untuk bercakap tentang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri?

“Mereka harus menerima hakikat bahawa untuk menjadi Perdana Menteri, parti itu perlu menjadi majoriti dalam gabungan PR. Sekarang bukan masa yang tepat untuk PAS berbicara soal ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jayum Jawan, berkata sokongan pengundi PAS hanya tertumpu di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia malah parti itu turut gagal menarik sokongan bukan Islam.

Katanya, sokongan DAP dan PKR sangat diperlukan bagi memastikan parti itu untuk terus relevan bersama PR menuju PRU14.

“PAS hanya tertumpu di negeri Pantai Timur dan utara. Kekuatan mereka di situ pun tidak boleh mengatasi PKR yang sokongannya lebih meluas.

“Dalam negeri kurang pengundi Melayu terutama di Sabah dan Sarawak, PAS tidak boleh menarik sokongan sekiranya perjuangannya lebih kepada Islam. Mereka yang bukan Islam agak berat memberi sokongan melainkan keyakinan diberikan oleh PKR dan DAP.

“PAS terlalu awal untuk berbicara tentang jawatan Perdana Menteri. Mereka harus cemerlang dalam pilihan raya terlebih dahulu,” katanya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramah di Selangor baru-baru ini menyedari hakikat kekuatan PAS apabila berkata secara sinis: "Jika PAS keluar Pakatan, maka PAS akan menjadi lebih kuat. Tetapi jajahan takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman.”

Jayum berkata, dalam pertarungan di antara PAS dan PKR yang mahu mengenengahkan calon masing-masing sebagai Perdana Menteri, DAP yang akan menentukan keputusannya.

“Pengimbang terpenting adalah DAP sama ada mereka menyokong salah satu calon di antara kedua-dua parti itu. Jika PAS menang lebih kerusi tetapi DAP tidak menyatakan sokongan, mereka tetap tidak boleh ke hadapan.

“Masanya terlalu awal bagi PAS. Lebih elok mereka mengukuhkan kedudukan membuat strategi menarik sokongan bukan Melayu supaya pengundi berasa selamat dan selesa bersama PAS.

Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin pula berpendapat PAS sememangnya mahu mengelak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada terus menjadi Perdana Menteri.

Katanya, sebagai parti Islam, PAS akan lebih terampil dan mempunyai rekod lebih baik menerajui negara untuk jawatan Perdana Menteri.

"Amat sesuai wakil orang Melayu bukan daripada kalangan PKR. Apatah lagi apabila pemimpin PAS yang terpilih, latar belakangnya bersih. Anwar pada pandangan PAS ada masalah. Itulah kebarangkalian apa yang dimaksudkan Husam,” katanya.

Penganalisis itu turut berpendapat PAS perlu tampil dengan dasarnya sendiri meskipun mendapat sokongan daripada parti dalam PR.

"Mereka perlu beritahu di peringkat awal apa yang mahu dibuat. Dasar kepimpinan mesti jelas. Mungkin atas dasar itu nanti, orang lain akan sokong. Bukan semua suka Anwar menjadi PM.

"Selama ini PAS di bawah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak berani bercakap benda ni. Sekarang tanpa beliau sudah nampak lebih jelas kedudukan PAS,” katanya.

Ketika ditanya apakah situasinya jika PKR dan DAP menolak calon PAS sebagai Perdana Menteri, beliau berkata: “Itu kena runding. Kalau cadangan PAS tidak diterima mungkin mereka kena pusing balik runding dengan Umno. “

Dalam pada itu, Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata cadangan Husam hanya pandangan yang dilontarkan dalam Muktamar PAS dan tidak perlu dipandang serius oleh pemimpin PR.

Katanya, berdasarkan prestasi cemerlang PR dalam PRU13 lalu, maka tidak mustahil bagi PAS mahu mengenengahkan pemimpin mereka.

“Husam mencadangkannya dalam Muktamar PAS. Tidak mungkin mereka akan mencalonkan pemimpin parti lain. Kami di PKR tetap memilih Anwar. Jika mereka yang mencadangkan Anwar maka pembunuhan politik sedang berlaku alam PAS.

“Pendirian PKR tidak berubah. Ini bukan rahsia umum. Dalam mesyuarat dalaman PR memang disebut berulang kali. PAS sebagai sebuah parti yang sedang bergerak naik, itu lumrah,” katanya.