#PAS4ALL Tapi Masih Belum Sedia Terima Bukan Islam Sebagai Ahli Penuh #MalaysiaNews

Walaupun timbul gesaan terhadap PAS untuk menjadikan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai sayap parti tersebut, Pengerusinya, Hu Pang Chow percaya PAS masih belum bersedia ke arah itu.
Dalam satu temubual bersama The Star Online, Hu berkata masih terlalu awal untuk PAS melakukannya kerana kongres ini baru saja ditubuh tiga tahun lalu.
"Sementara itu, PAS ditubuhkan pada 1951 atas dasar kesemuanya ahlinya beragama Islam. Ini adalah kali pertama ia membuka pintu kepada bukan Islam, satu langkah besar," katanya.
Hu yang menerajui kongres tersebut yang dianggotai kira-kira lebih 20,000 ahli di seluruh negara berkata, PAS masih menyesuaikan diri dengan budaya berbeza yang dibawa oleh ahli-ahli kongres.
"Orang Islam ada perkara haram dan halal, apa yang mereka tidak boleh makan dan minum. Untuk orang bukan Islam, tiada perkara seperti itu. Jadi PAS mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya baru ini," katanya.
Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini berkata, PAS perlu membenarkan bukan Islam untuk menjadi ahli partinya di mana mereka ada hak untuk mengundi pada pemilihan parti.
Beliau berkata, PAS sepatutnya menunjukkan keikhlasan dalam membuka pintu kepada DHPP sebagai ahli penuh parti itu, kerana langkah itu akan membawa PAS ke dalam parti berbilang kaum di negara ini.
"Namun kita tidak boleh menjangkakan perubahan akan berlaku dalam tempoh tiga tahun. Saya percaya ia satu pencapaian besar bagi PAS untuk mendapat sokongan dalam kalangan bukan Islam. Ini adalah perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Umno," kata Hu.
Hu merupakan salah seorang calon bukan Islam yang dipertaruhkan PAS di kerusi Parlimen Ayer Hitam pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu, buat pertama kalinya dalam sejarah parti.
Bagaimanapun, Hu tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Wee Ka Siong dengan 7, 310 undi majoriti.
Hu menyifatkan tindakan mempertaruhkan orang bukan Islam sebagai keputusan berani memandangkan PAS menerima sokongan daripada golongan itu sejak 2008.
"Strategi itu berkesan dan saya percaya Umno kini gelisah mengapa bukan Islam dan orang Islam boleh menyokong PAS tetapi tidak Umno, walaupun kedua-dua parti ditubuhkan untuk orang Melayu dan Islam," katanya.