Azmin Ali : "Masa depan PKR bukan di tangan Anwar"


Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menepis tanggapan bahawa masa depan parti tersebut terletak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menegaskan ia akan ditentukan oleh rakyat.

Azmin berkata, PKR bukan sebuah parti yang berpusatkan kepada Anwar semata-mata tetapi ia berteraskan reformasi yang  diasaskan rakyat Malaysia.

Azmin berkata, beliau tidak menafikan penubuhan awal parti tersebut bersimbolkan kezaliman yang berlaku kepada Ketua Pembangkang itu, tetapi tuntutan berubah seiring dengan peredaran masa pada ketika ini.

Bagi menyokong hujahnya, Azmin berkata, semasa penubuhan awal Parti Keadilan Nasional (PKN) tidak menyaksikan kehadiran Anwar selaku pemimpin, tetapi diterajui oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas Anwar meringkuk dalam penjara.

Sementara itu, Azmin berkata, bagi tempoh dua tahun akan datang fokus utamanya akan lebih ke arah untuk mengukuhkan parti tersebut khususnya dalam menyediakan pemimpin pelapis muda.

Dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu, PKR memenangi 30 kerusi Parlimen, sembilan di Selangor, masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga di Perak dan Pulau Pinang, dua di Pahang, serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Azmin berkata, tidak semua ahli PKR mengenali Anwar tetapi sokongan datang daripada rakyat biasa yang percaya kepada perjuangan dibawa oleh parti tersebut.