Aziz Bari : Agong Bukan Ketua Islam?


Terkejut dengan kenyataan Dr Abdul Aziz Bari yang dilaporkan di dalam portal pro-pembangkang, The Malaysian Insider...Majlis Raja-Raja adalah platform terbaik untuk mewakili pemerintah dalam isu agama namun bukan semua sultan sependapat dengan Agong dan Sultan Selangor dalam isu kalimah Allah...Tuduhan 'bukan semua sultan sependapat dengan Agong dan Sultan Selangor dalam isu kalimah Allah' adalah satu tuduhan yang sangat berat terhadap ketua-ketua agama Islam negeri di negara ini.

Bagaimana pula 'bukan semua sultan setuju' padahal Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan menimbang, memutus dan mengeluar fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja?

Selain daripada itu, Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak mempunyai ketua agama kerana Agong hanya ketua agama di negeri asalnya dan tidak terpakai bagi negeri seperti Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai Sultan. Apakah benar kenyataan Abdul Aziz ini?

Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan) di dalam Perlembagaan Persekutuan, begitu jelas mewartakan kedudukan Yang Di-pertuan Agung di negeri-negeri yang dinyatakan oleh Abdul Aziz.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya. 

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu. 

(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini. 

(5) Walau pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan- peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.