Tokoh akademik, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliaulah penulis catatan berkaitan 'kangkung' yang tersebar di laman Twitter dan Facebook.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai zalim dan satu propaganda bagi memburukkan hubungan baiknya dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ungku Aziz berkata beliau tiada masa untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah itu.
"Itu adalah satu penipuan yang mana orang lain menggunakan nama dan gambar saya untuk kepentingan tertentu...saya tak ada (akaun) Twitter, tak keluarkan apa-apa puisi (catatan) seperti itu.
"Saya tak tahu siapa dan apa tujuan dia buat macam tu. Ini kerja propaganda bagi burukkan hubungan saya dengan perdana menteri, dan saya boleh katakan ia adalah zalim," katanya di sini.
Catatan yang tersebar di laman dan media sosial itu memetik tulisan yang didakwa milik tokoh akademik itu susulan penjelasan Najib berhubung peningkatan harga barang ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman pada Ahad lalu.
Antara lain, petikan kontroversi yang berlegar di ruang maya itu ialah: "Terbukti rakyat Malaysia tidak mudah dikangkungkan. Siapa kangkung sebenarnya? Pucuknya angkuh memanjat bukit tak sedar akar terendam air parit."
Mengulas lanjut, Ungku Aziz berkata dakwaan yang mengatakan petikan itu adalah hasil tulisannya juga boleh dipertikai kerana selepas sekian lama terbabit dalam dunia penulisan, beliau lebih cenderung menulis pantun berbanding puisi.
Ditanya kemungkinan beliau akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyalahgunakan identitinya, tokoh akademik itu berkata beliau tidak berhasrat berbuat demikian.
"Saya tidak berhajat mengambil tindakan lanjut. Saya harap dengan kenyataan ini dapat hentikan penyalahgunaan ini daripada terus berlaku.
"Kepada mereka yang suka membuat propaganda, saya nasihatkan supaya hentikan kerja yang mendatangkan dosa ini," katanya. - BERNAMA
Post a Comment