#PRKKajang Kaedah Licik Anwar Ibrahim Untuk Jatuhkan Khalid Ibrahim


Walaupun siapa yang akan bertanding di DUN Kajang, atas niat hendak menggantikan Khalid, keputusan diambil itu sungguh berani. PKR dan Anwar khususnya berani bermain dengan api politik di Selangor. Mungkin tindakan ini satu keterpaksaan yang terpaksa. 

Dari segi teorinya nampak senang dan simple untuk dilakukan. Kosong kerusi, Anwar tanding menang dan kemudian angkat sumpah jadi MB. Riwayat politik Khalid Ibrahim pun berlalu begitu sahaja bagaikan kulit pisang dilontar dari atas komuter. Itulah yang difikir dan dikira. Bagi mereka yang benci Khalid mungkin sudah bertepok tangan sambil ramai-ramai menyanyikan lagu 'lenggang kangkung'.

Namun ianya bukan semudah yang disangka. Apakah PKR dan Anwar sendiri mengira hal-hal dan halangan yang bakal ditempoh. Memang ya, Khalid dilihat dungun dan gagap dalam politik. Tetapi kita kena ingat Khalid kini berada dalam dunia politik. Jawatan disandangnya jawatan diperolehi menerusi politik. Ia bukan jawatan lantikan seperti CEO di mana-mana GLC. Sebagai jawatan politik dan berada dalam politik Khalid pasti akan ikut bermain politik dan telah memahami sepak teranjang politik.