#PRKKajang : Strategi 'kitar semula' Anwar Bagi MENUTUP KES MAHKAMAHnya?


Tindakan Anwar Ibrahim mahu bertanding di Kajang dan memberi bayangan untuk merebut jawatan Presiden PKR dipercayai hanya strategi 'kitar semula' bagi mengaburi mata rakyat.


Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, strategi sedemikian sering digunakan Anwar agar dapat mengalih perhatian rakyat daripada memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya.

Menurut beliau, Anwar merupakan seorang ahli politik yang sedaya upaya akan cuba meloloskan diri daripada sebarang tindakan tanpa memikirkan soal rugi atau integriti.

"Beliau kini sebenarnya sedang panik apabila berdepan dengan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, jadi tindakan untuk bertanding itu juga sebagai usaha mempengaruhi keputusan mahkamah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ahmad Atory, Anwar juga akan sedaya upaya mengeruhkan keadaan agar lebih ramai pihak membela beliau.

"Apa agenda atau objektif beliau bertanding di Kajang, adakah mahu memberi khidmat terbaik kepada pengundi kawasan itu, sudah tentu tidak melainkan mahu memenuhi agenda peribadinya.

"Saya berpendapat, sudah-sudahlah beliau cuba mempermainkan kuasa rakyat untuk kepentingan diri kerana harus diingat lama-kelamaan orang akan bosan dengan taktiknya," tegasnya.

Ujar beliau, langkah Anwar bertanding di DUN Kajang itu seperti 'mencemar duli' memandangkan beliau pernah memiliki jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk memangku tugas Perdana Menteri ketika dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kenapa tiba-tiba nak bertanding di Kajang, maknanya memang ada yang tidak kena dengan mereka (pembangkang) ini," katanya - UTUSAN.