#PRKKajang #KajangMove : 1,197 undi awal hari ini


Sebanyak 1,197 pengundi awal yang kesemuanya terdiri daripada anggota polis dan pasangan akan mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ia akan berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Dewan Anjung Forensik PDRM dan Rumah Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Katanya, semua pusat mengundi itu dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang.

"Saya ingin menafikan dakwaan parti pembangkang kononnya berlaku pertambahan mendadak pengundi awal dalam PRK DUN Kajang. Sebenarnya, hanya ada pertambahan 17 pengundi awal berbanding 1,180 pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

"Hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tahu bila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh letak jawatan. Kita tidak tahu bila, macam mana boleh tuduh kita rancang tambah pengundi awal," katanya.

PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun berhadapan dengan calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kerusi DUN Kajang secara tradisinya disandang oleh calon MCA, namun sejak dua pilihan raya umum lalu iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, kerusi tersebut dimenangi oleh PKR.

Pada PRU-12, calon PKR, Lee Kim Sin mengalahkan penyandang kerusi itu, Datin Paduka Low Lee Leng daripada MCA dengan majoriti 3,268 undi dan pada PRU-13, Chin Cheh mempertahankan kerusi itu bagi PKR dengan majoriti sebanyak 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru.