Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao (tiga kiri) bersama bekas ahli seumur hidup DAP di pekarangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya, hari ini. - FOTO SINAR HARIAN ONLINE- NIZAM ZAIN
PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) diberikan tempoh sehingga tujuh hari bagi mengesahkan status siasatan terhadap pendaftaran DAP dan watikah yang dikeluarkan parti itu pada PRU13.
Pengerusi NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, ROS perlu mengambil tindakan tegas, telus dan lebih bertanggungjawab terhadap DAP.
"Saya minta DAP dibubarkan kerana kalau tengok sikap biadap DAP apabila RoS minta sesuatu penjelasan, Gobind Singh Deo sanggup hendak saman ROS.
"Kita minta RoS mengesahkan status watikah yang dikeluarkan DAP pada PRU13, adakah sah atau tidak, kerana sebelum ini kita tengok DAP akan menggunakan lambang Pas tapi di saat akhir mereka pakai semula lambang mereka (DAP)," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tersebut kepada Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramesh berkata surat tersebut yang diserahkan sendiri oleh bekas ahli DAP seumur hidup, Tony Tan Chee Chong kepada ROS itu mendapat perhatian ROS dan mereka berjanji akan mengambil serius aduan tersebut.
"Ketua Pengarah ROS berjanji akan menyelesaikan dan memberi jawapan baik, mungkin dibubar atau mungkin tidak pendaftaran DAP itu.
"Keseriusan mereka dapat dilihat apabila ROS meminta salinan kad pengenalan setiap bekas ahli DAP yang menemuinya siang tadi," katanya.
Pada 23 Mac tahun lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata parti itu akan bertanding dengan menggunakan logo PKR atau Pas sekiranya pendaftaran DAP digantung RoS sebelum hari penamaan PRU13.