Penang Front Party (PFP) Intai Peluang Tanding #PRKBukitGelugor

Go Chui Tiong (lima dari kiri) bersama beberapa ahli NGO Cina mengangkat tangan bersama selepas mengumumkan penubuhan Penang Front Party dan hasrat bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor pada sidang akhbar di Bayan Baru, Pulau Pinang, Isnin. 

Sebuah parti politik yang baharu ditubuhkan di Pulau Pinang mengintai peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei depan.

Penang Front Party (PFP) yang diketuai pengerusi sementara, Datuk Go Chui Tiong, 43, berkata parti itu telah menyenarai pendek tiga calon berpotensi untuk diturunkan pada PRK tersebut.

Beliau mendakwa PFP mempunyai 2,000 ahli dan mendapat sokongan kira-kira 44 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina termasuk ahli jawatankuasa tokong Cina.

Beliau enggan mendedahkan sebarang nama buat masa ini.

"Kami mengalu-alukan NGO lain untuk bekerjasama dengan kami," katanya pada sidang media di sebuah restoran di Bayan Baru.

Go berkata, parti itu akan menyerahkan permohonan pendaftaran parti kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada minggu ini.

"Kami percaya dapat melakukannya (sertai PRK Bukit Gelugor)," katanya.

Jelas Go, PFP akan berjuang untuk warga Pulau Pinang yang menjadi alat politik kepada pemimpin DAP dalam mencapai kepentingan peribadi mereka.

Kerajaan negeri, dakwanya, hanya membantu golongan kaya dan warga asing daripada menjaga kebajikan rakyat.

"Penduduk tempatan tidak mampu membeli rumah sendiri yang harganya agak keterlaluan. Tanah dijual untuk membina rumah-rumah mewah. Sekarang, tarif air juga turut meningkat," katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang berkata beliau menyertai sidang media itu sebagai memberi sokongan kepada parti tersebut.

mstar

Post a Comment