Pentas kempen Pakatan Rakyat makin menarik apabila ceramah pada malam semalam dihangatkan lagi dengan kehadiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang membuat penampilan istimewa ketika kempen berbaki dua hari lagi.
Selepas berpuluh tahun bersama perjuangan BN dan Umno, Muhammad yang juga bekas Naib Presiden Umno ketika berucap mendakwa tidak mahu sebarang jawatan, sebaliknya menyertai pembangkang untuk mengetengahkan sisi negatif kem lamanya itu.
Beliau juga mendakwa, berdasarkan trend politik masa kini dengan kehadiran pembangkang di Johor misalnya, Pakatan Rakyat akan membawa perubahan dalam tempoh empat tahun menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Kita dapat lihat di Johor, dahulunya ketika zaman saya, tiada pembangkang tetapi sekarang Pakatan Rakyat menang 18 kerusi.
"Di Selangor, semasa saya jadi MB, hanya ada dua kerusi DAP, tapi sekarang 44 kerusi. Saya dah tengok akan berlaku perubahan dalam tempoh empat tahun lagi," katanya pada ceramah di Island Glades, Jalan Delima di sini, malam Khamis.
Muhammad juga mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Jeff Ooi (Jelutong) dan Rafizi Ramli (Pandan) layak menjadi menteri pada bila-bila masa sahaja.
"Saya pernah bersama Umno. Jadi saya tahu orang di sini (Pakatan Rakyat) lebih baik daripada orang di sana (Umno-BN)," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mempersendakan kemelut politik di Terengganu yang menggemparkan negara beberapa minggu lalu.
"Di Terengganu, kerajaan baru hampir dibentuk dan bakal mendapat MB baru tetapi ada juga pemimpin yang 'go head go stan' (menarik balik keputusan)," katanya.
Dalam ceramah itu juga, beliau memuji tindakan penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana menurunkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon di Teluk Intan.
Sementara itu, pakatan pembangkang dilihat sudah kehabisan modal untuk berkempen apabila menjadikan isu sepasang panda yang baru tiba di Malaysia sempena hubungan diplomatik kedua negara selama 40 tahun itu dalam ceramah mereka.
"Kerajaan habiskan banyak duit hanya untuk sepasang panda ini. Sekarang sudah tak boleh berhutang, kena buat GST sebab mahu bagi panda makan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.
Post a Comment