#PRKBukitGelugor Calon Bebas, Abu Backer Menangis Kerana Kecewa Tak Dapat Liputan Media


Calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan mengakui hampir menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor kerana kecewa kempennya tidak mendapat liputan media.

Ketika ditemui pemberita hampir sejam di lobi sebuah hotel di sini, Abu Backer yang juga seorang peguam menitiskan air mata kerana merajuk dengan media tempatan.

"Saya dah merajuk dengan media. Untuk apa saya bertanding jika tiada kebebasan media. Saya bawa isu rakyat tetapi tidak mendapat liputan media.

"Saya tidak berlakon (menangis)... saya bukan nak jadi artis. Saya ikhlas ingin membela nasib rakyat. Apabila saya bawa isu rakyat, media tak cover... bila ada majlis Guan Eng hangpa (media) pergi," katanya.

‪Bagaimanapun, kata Abu Backer, semangat untuk meneruskan perjuangannya pulih selepas mendapat sokongan pengundi Cina ketika berkempen di Pasar Raya Bandar Baru, Farlim di Air Itam pada Ahad.

‪"Memang saya tak jemput media semalam (Ahad) sebab saya merajuk dan kecewa dengan liputan media. Tapi kami ada rakaman video semasa berkempen di sana.

‪"Mulanya sukar untuk mendekati pengundi Cina tapi Allah SWT  bantu saya. Lampu di pasar raya itu tiba-tiba terjatuh, semua panik tapi saya dapat mengawal keadaan dan dari situ mereka mendekati saya," katanya.

‪Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau takut jika media memboikot kempennya yang berbaki lima hari lagi, Abu Backer berkata, beliau berhadapan situasi itu.

‪"Saya sudah sedia untuk diboikot. Boikotlah. Saya ada CNN. Mereka dah lama tunggu saya," katanya mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) Pulau Pinang untuk membincangkan  masalah pemandu teksi.

Post a Comment