Yammy Samat mengambil
keputusan untuk tidak menjawab surat tunjuk sebab berhubung dakwaan
beliau berkempen untuk anaknya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Mei lalu.
Beliau berkata, ia adalah keputusan muktamad yang dibuat, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk Dyana.
Menjelaskan lagi, katanya, cara Umno
yang hanya menyerahkan salinan surat berkenaan untuk mendapatkan
penjelasannya turut mempengaruhi keputusan itu.
“Saya sudah ambil keputusan untuk tidak jawab surat itu selepas berfikir panjang. Keputusan saya ini adalah muktamad.
“Terserah kepada Umno untuk membuat
keputusan selepas ini sama ada mahu memecat saya daripada parti atau apa
sahaja tindakan mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada
Rabu.
Yammy Samat pada 23 Jun lalu akhirnya
menerima surat tunjuk sebab daripada Umno selepas 20 hari daripada
tarikh surat pertama yang dihantar pada 3 Jun tetapi tidak diterimanya.
Ia adalah surat ketiga yang dihantar
oleh Umno selepas surat pertama dipulangkan semula oleh Pos Malaysia
kerana terdapat kesalahan alamat, manakala surat kedua yang dikatakan
telah dihantar pada 16 Jun lalu turut gagal sampai ke tangannya.
Yammy mengulangi pendiriannya bahawa
beliau akan mengambil keputusan untuk berehat daripada pembabitannya
dalam politik sekiranya dipecat daripada Umno.
“Saya juga tidak bercadang untuk
menyertai mana-mana parti politik lain. Biarlah saya berehat, saya sudah
lama menyertai politik bersama Umno sejak 1974.
“Apapun, sebagai ibu... saya terus akan
menemani Dyana sehinggalah dia berkahwin nanti. Bagi saya, keluarga
perlu diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan
kepada semua ahli Umno supaya membuat pertimbangan sewajarnya sekiranya
ada dalam kalangan ahli keluarga dari parti politik berbeza.
“Jika anda mempunyai ahli keluarga dari
parti berlainan, diharap berfikir terlebih dahulu sebelum membuat
keputusan sebelum terlibat bersama mereka.
"Jangan jadi macam saya, yang hanya
menemani Dyana sebagai anak tanpa memberi sokongan kepada parti lain
atau memburuk-burukkan parti saya tetapi diberi surat tunjuk sebab,”
katanya.
Mengenai Dyana, Yammy berkata: “Nasihat saya supaya Dyana meneruskan perjuangan.”
Post a Comment