Peguam Robert Lau Hui Yew calon Barisan Nasional (BN) di Sibu


Peguam Robert Lau Hui Yew diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.


"Perdana Menteri tertarik dengannya (Hui Yew)," katanya sekembalinya daripada Kuala Lumpur di hangar Hornbill Skyways di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Surat pencalonan Hui Yew diserahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi BN, kepada Abdul Taib, iaitu pengerusi BN Sarawak, dalam satu perjumpaan di Putrajaya.

"Saya harus mengucapkan tahniah kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kerana memilih calon yang terbaik," kata Abdul Taib pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri oleh timbalannya Tan Sri Dr George Chan, yang juga presiden SUPP. Sementara itu, Dr Chan berkata parti itu telah melangkah ke era penjenamaan semula bagi memikat hati pengundi dan penyokong pada pilihan raya kecil itu.

"Kami memilih Hui Yew kerana mahu memberi golongan muda dan bertenaga dalam parti supaya memberi khidmat kepada rakyat, satu permulaan dalam parti," katanya.

Hui Yew, 45, yang turut dikenali sebagai Robert Lau Junior, adalah sepupu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, penyandang kerusi Parlimen Sibu, selama lima penggal, yang meninggal dunia pada 9 April lalu.

Dr Chan berkata Hui Yew mepunyai sikap yang mudah didampingi dan ia merupakan nilai kejayaan untuk meraih sokongan pengundi Sibu.

Beliau menjadi calon pilihan kerana pembabitan aktif dalam kerja-kerja parti dan pendekatan mesra apabila berurusan dengan peniaga pelbagai kaum di pusat bandar Sibu dan masyarakat Iban di rumah panjang di luar kawasan bandar itu.

Bapanya, Lau Swee Nguong, merupakan Pengerusi Kumpulan syarikat GTS, yang terbabit dalam perniagaan pembalakan, pembuatan papan lapis, perladangan kelapa sawit dan perkapalan.

Hui Yew merupakan Penolong Bendahari SUPP cawangan Sibu dan menjadi ahli parti itu sejak 17 tahun lalu.

Kerusi Parlimen Sibu menjadi kosong berikutan kematian Robert Lau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon dan 16 Mei sebagai hari pengundian.

Dalam pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, dengan menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Lim Chun Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

SPR akan membuka 45 stesen mengundi dengan 110 saluran mengundi yang akan diuruskan oleh 1,149 petugas SPR.

-- BERNAMA

GHOSTWRITER

"Orang-orang Sibu, nantikan kehadiran ghsotwriter di sana...... Dapatkan berita Pembohongan Pakatan Rakyat live dari seluruh pelusuk Sibu."

Post a Comment