Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengumumkan kenaikan pembayaran khairat kematian daripada RM500 kepada RM3,000 kepada bekas anggota tentera.
Beliau berkata pembayaran itu akan disalurkan kepada Yayasan Veteran sebagai tanda komitmen kerajaan dalam membantu anggota keluarga dan waris yang kehilangan insan tersayang yang berjuang untuk keamanan negara.
Najib juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyelesaikan tuntutan pembayaran ex-gratia kepada bekas anggota tentera yang cacat kekal yang berkhidmat pada tahun 1994 dan sebelumnya, secepat mungkin.
Beliau berkata kerajaan akan terus menjaga para anggota pasukan keselamatan sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara kerana mereka merupakan kumpulan yang penting dalam mempertahankan negara.
"Mereka merupakan satu kumpulan untuk terus tentukan kita mempunyai keupayaan ketahanan negara yang cukup supaya rakyat yakin sekiranya ada musuh, musuh itu akan berfikir dua kali untuk ancam negara kita," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Ahad.
Beliau berkata setiap negara mesti bersandarkan kepada satu sistem pertahanan yang boleh menjamin masa depan yang tidak boleh diganggu gugat keamanannya.
"Kita mesti bersatu... walaupun kita sudah bina sebuah negara di abad ke-21 ini, sesuatu kejayaan itu tidak terletak di hujung laras senapang lagi tetapi melalui penjanaan kekayaan yang berpunca daripada kemampuan kita untuk berfikir dan kuasai ilmu," katanya.
Najib turut mengingatkan golongan muda agar memahami sejarah dan perjuangan anggota tentera dalam menuntut kemerdekaan yang tidak ternilai harganya.
"Seharusnya kita ingatkan generasi muda yang tidak melalui tempoh masa menentang komunis. Mereka harus diingatkan walaupun lahir, membesar, dapat rezeki dan kekayaan (selepas zaman komunis), mereka bernasib baik kerana tidak perlu membayar harga keamanan negara Malaysia," katanya.
Najib berkata pihak-pihak yang tidak tahu menghargai nilai sejarah dan keamanan negara yang telah dibayar dengan nyawa oleh anggota-anggota tentera dahulu adalah golongan yang buta sejarah dan tidak tahu mengenang budi.
"Harga keamanan tetap terpaksa ditanggung bukan dapat dengan percuma. Siapa kata ia percuma hanya mereka buta sejarah, tidak tahu kenang budi dan jasa anggota keselamatan yang tidak tahu nilai sejarah negara.
"Betapa besarnya kesengsaraan keluarga yang terima jenazah, sedih dan pilunya lihat bapa balik kudung kaki tangan, berapa ramai anggota tentera yang tidak boleh bekerja lagi kerana cedera oleh sebab menjadi mangsa jerangkap samar dalam menentang musuh negara," katanya.
Najib berkata sehubungan itu, seluruh rakyat khususnya generasi pada masa kini perlu menghargai pengorbanan kerana tanpa pengorbanan dan titisan darah dalam memperjuangkan keamanan negara, Malaysia tidak mungkin menjadi negara yang sedang membangun.
"Dari sebuah negara yang kecil, berteraskan ekonomi pertanian, lebih 50 peratus penduduk daripada golongan miskin, hari ini kita jadi satu negara yang membangun, catat perubahan besar kepada negara.
"Atas pengorbanan mereka inilah kita boleh kecapi apa yang kita impikan iaitu perubahan yang besar kepada negara. Cuba bayangkan kalau pengorbanan ini tiada, maka tak mungkin kita berada sebagai sebuah negara yang aman dan makmur," katanya.
Post a Comment