Ramai pemimpin kanan PKR Johor termasuk pengerusinya, Datuk Chua Jui Meng, tersisih menjadi calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Keadaan itu berlaku apabila pucuk kepemimpinan PKR Pusat cenderung menghantar calon payung terjun bertanding bagi kerusi Parlimen di negeri ini.
Jui Meng yang terlepas peluang bertanding di Parlimen Gelang Patah kerana PKR memberi laluan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, terus tersisih apabila juga tidak dinamakan sebagai calon bertanding di Parlimen Tebrau.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerusi yang diterima daripada PAS itu akan ditandingi Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat, Steven Chong Siaw, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Johor.
Beliau turut mengumumkan yang bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein, akan bertanding di Parlimen Johor Bahru.
Pengumuman itu secara tidak langsung memadam khabar mengenai pencalonan Ketua PKR Cabang Johor Bahru, Tan Poh Lai, yang sebelum ini sudah mengatur gerak mendekati penyokong sebagai persediaan menjadi pertaruhan parti terbabit.
Ketika berceramah di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini malam kelmarin, Anwar turut mengejutkan penyokong PKR apabila memilih rakan baiknya dalam ABIM suatu ketika dulu, Datuk Mohd Idris Jauzi, bagi bertanding kerusi Parlimen Batu Pahat.
Pemilihan Idris secara tidak langsung menyisih pemimpin veteran PKR, Syed Hamid Ali, yang sebelum ini sudah bergerak mendekati pengundi dan masyarakat sekitar kawasan itu.
SUMBER : BHARIAN
Post a Comment