Kerajaan Selangor Retak Menanti Belah Dengan Perlantikkan Saifuddin?

 

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah mempersoalkan tindakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) sebagai pegawai perhubungan politik tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei dalam satu kenyataan inginkan penjelasan daripada pihak MPN terutama berhubung skop jawatan tersebut dan mengapa orang politik seperti Saifuddin boleh dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Reaksi serupa turut disuarakan oleh Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali di mana menurut beliau pelantikan Setiausaha Agung PKR itu telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan anggota dan kepimpinan PKR Negeri.

Perkembangan ini jelas menggambarkan keresahan yang berlaku dalam politik PKR di Selangor yang masih tidak boleh menerima keputusan yang telah dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ia menggambarkan seolah-olah tiada ruang perbincangan yang telus di kalangan para pemimpin PKR negeri. Tindakan mereka yang lebih suka menggunakan media termasuk media siber untuk meluahkan pandangan masing-masing menunjukkan wujudnya keretakan dalaman yang cuba dikaburi oleh kepimpinan tertinggi parti.

Walau bagaimanapun Saifuddin Nasution Ismail masih belum mengetahui apa bidang tugas yang perlu dilakukan oleh beliau. Pertemuan beliau dengan Menteri Besar dijadualkan pada Jumaat ini.

Difahamkan antara tugas penting yang perlu bakal dipikul oleh Saifuddin termasuklah melibatkan usaha memperkukuh kerajaan negeri dan membina kekuatan melalui usaha mencari pengaruh yang lebih luas di kawasan yang tidak dikuasai Pakatan Rakyat.

Jika benar kenyataan itu maka terbuktilah pimpinan PKR negeri yang dipimpin oleh Azmin Ali diragui oleh Menteri Besar untuk menjalankan tugas-tugas politik PKR.

Apa yang jelas tindak tanduk para pemimpin PKR Selangor tersebut jauh berbeza dengan slogan yang dibawa oleh mereka yang mahukan ketelusan dan ruang perbincangan dalam parti. Sikap menghentam parti lain seperti UMNO dan BN terpalit ke muka sendiri jika insiden bantahan terhadap pelantikan Saifuddin Nasution Ismail ini diambil kira.

Post a Comment