Agihan Bantuan Kerajaan Berupa TV LED, Peti Ais, Dapur, Tilam dan Bantal Kepada Mangsa Banjir Mula Diagihkan


Lebih 32,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di Semenanjung baru-baru ini akan menerima bantuan berupa peti ais, televisyen dapur, tilam dan bantal.

Presiden Kelab Putra 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abd Rahim berkata, bantuan yang dianggarkan bernilai RM64 juta itu adalah hasil kerjasama antara KP1M, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta UMNO.

Menurut beliau, KP1M menjangkakan untuk menyelesaikan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir tersebut menjelang April depan.

"KP1M meneruskan usaha menyalurkan bantuan berkenaan ke Terengganu, Kelantan dan Johor. Melaka sudah selesai dan sebahagian Pahang juga hampir selesai melalui 600 kontena yang telah kita telah gerakkan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kontena dan Lori Bantuan Banjir KP1M Ke Kemaman dekat sini hari ini.

Sebanyak 100 kontena akan digerakkan ke Kemaman, Terengganu secara berperingkat untuk disalurkan kepada 13,470 keluarga di Parlimen tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, bantuan untuk mangsa banjir di Kemaman akan diserahkan kepada mereka bermula Ahad ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan merasmikan majlis penyerahan tersebut di sana.

Jelas beliau, usaha menyalurkan bantuan berkenaan adalah untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas selaras dengan aspirasi gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

"Yang penting kita nak pastikan semua rakyat yang terjejas akibat banjir menerima bantuan berkenaan tanpa mengira fahaman politik,"

"Untuk bantuan barangan tersebut, KP1M hanya menyediakan dapur, tilam dan bantal, SKMM pula menyediakan televisyen LED 32 inci dan parti UMNO menyediakan peti sejuk dua pintu untuk membantu meringankan beban ditanggung mangsa berkenaan," katanya.