#HardRockPutrajaya : Menteri Cuci Najis Aseh? Letak Syarat Hantaran Puteri Gunung Ledang!!



Ingatkan “taufan Hard Rock Cafe” yang melanda Putrajaya sejak dua hari lalu telah berakhir sebaik Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat mengeluarkan kenyataan Ahad lewat malam yang lalu.

Dalam kenyataan pada jam 11.45 malam itu (sesuatu yang sangat luar biasa untuk seorang penjawat awam membuat kenyataan lewat malam pada hai cuti), Aseh Che Mat, beliau menegaskan tiada permohonan dibuat jadi tidak timbul soal lulus atau tidak. Malah beliau menyatakan tidak akan ada sebarang kelulusan untuk Hard Rock Cafe jika ada permohonan pada masa akan datang.

Ini berbeza dengan kenyataan dalam akhbar sebelum ini bahawa ia akan dibuka dalam masa empat bulan. Kenyataan ini juga agak berbeza dengan kenyataan rasmi pada pagi sebelumnya.

Ketika penganalisa cuaca meramalkan banjir gelombang kedua, taufan Hard Rock Cafe yang pertama membuat kemunculan kali kedua. Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang baru pulang dari luar negara telah diberi taklimat oleh Aseh Che Mat.

Selepas taklimat tersebut, Tengku Adnan telah mengadakan sidang akhbar antara lain:
Pusat hiburan terkenal, Hard Rock Cafe hanya boleh menjual barangan di bawah jenama tersebut selain beroperasi sebagai hotel di sini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihak yang berminat perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan iaitu tidak menjual alkohol dan hiburan mengghairahkan.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah jika garis panduan itu dipatuhi oleh pelabur yang berminat. – UTUSAN ONLINE
Dilaporkan oleh rakan wartawan, dalam sidang akhbar tersebut Tengku Adnan jelas sekali meletakkan beberapa syarat seperti tiada jualan arak dan hanya lagu-lagu nasyid yang dibenarkan.  Syarat-syarat yang diletak oleh Ku Nan ini tidak masuk akal dan agak mustahil akan diterima oleh Hard Rock Cafe International yang keuntungan perniagaannya bergantung kepada jualan arak dan hiburan ala barat.

Ini adalah jalan terbaik Menteri Wilayah tersebut untuk menjaga air muka Presiden Perbadanan Putrajaya yang telah tersilap langkah mengumumkan pembukaan Hard Rock Cafe dalam masa empat bulan.

Ini juga sebagai menjaga imej dan maruah kerajaan di mata pelabur tempatan dan luar negara agak tida kelihatan flip flop dengan desakan media sosial.

Dengan kata lain, syarat-syarat yang diletak oleh Ku Nan ini seumpama syarat-syarat hantaran yang diminta Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud. Puteri Gunung Ledang meminta pelbagai hantaran tidak masuk akal sebagai jalan menolak peminangan Raja Melaka secara hormat.

Justeru secara adilnya, saya melihat tindakan Ku Nan meletak pelbagai syarat ini merupakan cara menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak selerak.

Namun seperti mana dalam editorial sebelum ini tidak mustahil, Hard Rock Cafe akan meneruskan pembukaan ini biar apa pun syaratnya kerana mahu menggunakan nama Putrajaya sebagai sebahagian program “global branding” syarikat tersebut.

Jika ini berlaku, saya percaya Ku Nan akan melakukan sesuatu untuk menghalangnya. Kita tunggu dan lihat.