JAIS SAMSENG? #MediaPakatanRakyat Cuba Burukkan JAIS : MB Pula Memihak Kepada CHA YA NUN ALIF ?



Malaysiakini, Malaysian Insider dan beberapa lagi portal dan blog pembangkang terus cuba menyemarakkan isu JAIS merampas 320 Injil berbahasa Melayu dan Iban dari premis Bible Society of Malaysia (BSM) Khamis lalu. Beberapa artikel yang disiarkan di dalam portal tersebut cuba menggambarkan JAIS sebagai samseng kerana menendang pintu menyerbu dan merampas kitab-kitab Injil yang mengandungi nama ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan Kristian. 

Apa yang portal pembangkang itu tidak sebutkan ialah tindakan JAIS itu adalah sejajar dengan Enakmen 1988 mengenai Kawalan Penyebaran Agama (lain) kepada Orang Islam di Selangor yang melarang bukan Islam menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka termasuk ‘Allah’, ‘Nabi’, ‘Injil’ dan InsyaAllah’. Sehingga kini, enakmen ini tidak pernah dimansuhkan sekali gus menjadikan tindakan JAIS sebagai sah. 

Pihak Kristian bagaimanapun, memberikan alasan bahawa penyebaran Injil Berbahasa Melayu dengan menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai merujuk kepada Tuhan Kristian itu adalah bertepatan dengan 10 persetujuan yang dicapai di dalam perbincangan pada April 2011. Perbincangan yang melibatkan pihak Kristian dengan beberapa Menteri di peringkat pusat, Dato’ Seri Idris Jala serta Peguam Negara itu, telah memutuskan bahawa setiap penerbitan Kristian berbahasa Melayu perlu meletakkan tanda salib dan nota bertulis ‘penerbitan Kristian’ di luarnya. 

Jika ini benar, maka perbincangan itu wajar dipersoalkan kerana tidak turut melibatkan pihak yang mewakili Islam. Walhal, isu di sini ialah mengenai penggunaan hak sejagat Umat Islam yang ingin dituntut oleh Kristian, maka logiknya, badan-badan yang mewakili Islam perlu menjadi pihak utama untuk diajak berbincang. Adalah pelik sekali apabila badan-badan Islam tidak dirujuk mahupun dijemput langsung dalam perbincangan itu. 

Nampaknya, yang menjadi ‘mangsa buli’ di sini ialah Islam, bukannya Kristian. Pihak Islam telah diketepikan dalam perbincangan tersebut dan hak Umat Islam ke atas kalimah Allah telah dirampas secara biadab dan tanpa sebab atau alasan yang konkrit. 

Apa yang berlaku menunjukkan seolah-olah pihak Kristian telah dengan sengaja mencari gaduh dan menunjuk samseng terhadap umat Islam di Malaysia. Apabila JAIS bertindak berdasarkan undang-undang, pihak Kristian menuduh JAIS sebagai samseng dan kononnya membuli mereka pula. Soalnya, siapa yang buli siapa?

Rakyat Malaysia rata-ratanya cukup matang dan tidak mudah melatah dengan isu yang mampu mencetus ketegangan. Penganut Kristian di kalangan rakyat biasa juga tidak pernah ‘teruja’ dengan isu kalimah Allah di dalam kitab Injil berbahasa Melayu kerana mereka lebih selesa dengan Injil berbahasa Inggeris. 

Penganut Kristian di kalangan Iban pula terlalu kecil dan tidak signifikan langsung untuk dibangkitkan sebagai isu di Semenanjung. Kaum Iban tertumpu di Sarawak di mana kegunaan kalimah Allah dalam aktiviti keagamaan Kristian tidak disekat oleh kerajaan. Oleh itu, kita lihat sebarang usaha untuk menjadikan pengharaman Injil berbahasa Iban dengan kalimah Allah di Semenanjung sebagai isu besar adalah sebenarnya berniat jahat. Apatah lagi dengan hakikat bahawa kaum Iban yang beragama Kristian juga ramai yang lebih selesa dengan Injil berbahasa Inggeris. 

Jelas, satu-satunya pihak yang sengaja membesarkan isu kalimah Allah dan ingin terus mencabar undang-undang serta agama Islam adalah pembangkang melalui media mereka.