Hanya kerana gagal menyiapkan tugasan sekolah yang diberi, dua murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng dekat sini dilayan seperti seekor lembu apabila digantung loceng di leher dan dipaksa memakan rumput oleh seorang guru sekolah itu, Khamis lalu.
Guru lelaki berusia 26 tahun yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris itu bukan sahaja menggelarkan Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith masing-masing 10 tahun sebagai ‘lembu’ malah turut mengugut akan memuat naik gambar mereka yang diambil menggunakan telefon bimbit di laman sosial Facebook.
“Empat murid tidak siapkan kerja sekolah iaitu dua daripada kaum Cina dan dua lagi murid beragama Islam yang diambil tindakan hanya dua pelajar Islam sahaja dua lagi tiada apa-apa tindakan.
“Alasan yang diberikan guru itu kerana dua lagi (murid Cina) berpenyakit dan mempunyai surat sakit daripada doktor. Ini tidak masuk akal kerana anak saudara saya juga mempunyai masalah kesihatan kerana menghidap asma," kata ibu Muhammad Nasvinder, Siti Aisha Hashim, 32.
Sementara itu, Bapa saudara kepada Muhammad Nasvinder, Muktasim Hashim, 28, berkata, pada mulanya kedua-dua murid berkenaan dirotan sebanyak dua kali di bahagian tapak tangan sebelum diarahkan memakai loceng di leher dari pukul 9 pagi sehingga tamat waktu persekolahan pada pukul 1.30 petang.
Katanya, jika murid itu ingkar arahan berkenaan, mereka akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda rotan sebanyak 10 kali lagi.
“Kedua-dua murid ini akur dengan arahan guru tersebut kerana bimbang akan dirotan lagi. Bagaimanapun, tindakan guru terbabit membuatkan mereka malu untuk ke kantin sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Balai Islam Taman Permai di sini hari ini.
Muktasim berkata, kejadian kedua pula berlaku pada pukul 10.10 pagi iaitu pada waktu rehat yang guru tersebut datang semula ke kelas mangsa sebelum mengambil rumput di hadapan kelas lalu memaksa mangsa makan.
Tindakan keterlaluan guru itu, katanya, memaksa Muhammad Nasvinder mengeluarkan kata-kata ‘Lembu puasa hari ini jadi saya tidak boleh makan’ kepada gurunya kerana tidak tahan dipaksa makan rumput tersebut.
Katanya, guru itu ada menemui mereka dan membuat permohonan maaf, namun permohonan maaf itu dilihat dibuat dalam keadaan tidak ikhlas.
“Guru besar yang ditemui juga memberitahu kejadian itu (gantung loceng) bukan kali pertama dilakukan oleh guru terbabit tetapi memaksa makan rumput dengan gelaran ‘lembu’ adalah kali pertama," katanya.
Justeru katanya, mereka sebulat suara mahukan guru tersebut diambil tindakan keras agar kejadian sama tidak berulang.
Siapa Sebenar Yang Racist?
Cina Buat Hanya Cukup Dengan Permohonan Maaf : Jika Melayu Buat Sebaliknya Agaknya Apa yang Cina TINDAKAN CINA?