Datuk Seri Najib Razak sudah mewajibkan latihan media kepada menteri Kabinetnya untuk mengelakkan kenyataan "kurang bijak" yang menyebabkan pentadbirannya menjadi bahan jenaka.
"Perdana menteri mahu semua menteri menjalani latihan media untuk elak kenyataan-kenyataan kurang bijak terus dikeluarkan," kata satu sumber dengan syarat namanya dirahsiakan merujuk kepada arahan Najib kepada anggota Kabinet.
"Kita tak nak imej Putrajaya rosak kerana kenyataan-kenyataan seperti Ku Nan dan Hasan Malek," tambahnya.
Seorang menteri Kabinet mengesahkan terdapat arahan daripada Najib semasa mesyuarat lalu agar semua jemaah menteri menjalani kursus dan seminar tentang bagaimana untuk berhadapan dengan media.
Untuk rekod Perdana Menteri sebelum ini mempersoalkan mengapa kerajaan dipersalahkan tatkala harga barang naik tetapi ketika harga turun tidak pula dipuji.
"Bila harga barang naik, sawi naik, kangkung naik. Ada masa dia naik, ada masa dia turun.
"Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, bila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil," kata Najib yang dipetik berkata dalam video tersebut.
Kenyataan Najib itu dicemuh ramai pihak sehinggakan kangkung menjadi perkataan disebut-sebut dan mendapat liputan media antarabangsa seperti British Broadcasting Corporation (BBC).
Dalam mempertahankan Najib, Tengku Adnan mengatakan pihak yang memainkan isu kangkung ini bodoh, tidak mengetahui maksud di sebaliknya dan menjauhi budaya ketimuran.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, apa yang dimaksudkan Najib adalah kangkung sejenis sayuran yang murah dan boleh ditanam di merata tempat.