Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB) hari ini memecat 30 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa semalam.
Semua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan pagi tadi selepas hadir bekerja seperti biasa.
Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Wakil pekerja terbabit, Dr Alif Aiman berkata mereka berasa amat terkejut dengan pemecatan itu berikutan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum ini dan menganggap pemberhentian serta-merta itu menganiaya mereka.
"Kejutan yang kami terima semasa hadir bekerja hari ini ibarat penganiayaan malah tiada alasan kukuh. Pemberhentian ini betul-betul menyusahkan kami yang rata-rata pencari nafkah utama keluarga.
"Apa yang kami amat kesalkan adalah sehingga saat ini, kami semua masih tidak tahu mengapa kami diberhentikan sedangkan kami tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap syarikat malah kami sanggup berkorban masa dan tenaga demi membangunkan PHSB," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Alif yang juga Pengurus Kanan Pemasaran PKNS, berkata menerusi surat berkenaan mereka hanya dimaklumkan mengenai pemberhentian dibuat selaras dengan perubahan dan hala tuju PKNS dalam menyusun semula organisasi dan sumber manusia termasuk PHSB.
Katanya, alasan pihak pengurusan syarikat itu dilihat tidak dinyatakan secara terperinci terutamanya proses penyusunan semula itu sedangkan prestasi PKNS berada dalam kedudukan yang baik malah mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.
"Apa salah kami sehingga diberhentikan serta-merta dan jika ada salah, mengapa tidak diberikan surat tunjuk sebab ataupun adakan siasatan dalaman. Jika kami hilang punca pendapatan begini, bagaimana pula nasib keluarga yang kami tanggung.
"Antara objektif kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat dan kami bekerja keras membantu PKNS menjana pendapatan demi bantu rakyat lain, tapi ini balasan yang PKNS bagi pada kami dan adakah ini negeri berkebajikan yang dicanang kerajaan Selangor," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan pemecatan itu dan berharap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dapat menyatakan sebab pemecatan dan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. - BERNAMA