Analisis #PRKKajang : Drama Kerajaan Selangor, Siapa mangsa, siapa perancang?

Embedded image permalink

BERMULA  2014, isu di Selangor semakin mengelirukan. Bermula dengan isu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kini dikejutkan isu Dun Kajang.

Peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh menimbulkan spekulasi hebat terhadap kerajaan PR Selangor.

Tidak sampai 24 jam selepas itu, PKR mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi kerusi Dun Kajang. Keputusan ini dilihat ramai pihak sebagai tergesa-gesa kerana SPR masih belum menetapkan tarikh.



Jika dilihat kes-kes Selangor terdahulu, kesemuanya bermula dengan dua watak utama iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Kedua-duanya dari awal dilihat tidak sekepala dan sepasukan, walaupun berdiri dan duduk atas parti sama.

Persoalan yang timbul adalah siapakah menjadi mangsa dan siapa menjadi perancang utama, Azmin, Khalid ataupun Anwar?



Terdapat beberapa teori dilihat boleh diterima pakai untuk menjawab persoalan ini.

Teori pertama, berkemungkinan wujud pakatan antara pemimpin PKR untuk menggagalkan usaha Azmin menjadi menteri besar.

Teori ini disokong dengan penampilan menteri besar bersama Anwar dalam sidang media mengumumkan Ketua Umum PKR itu sebagai calon Dun Kajang.

Malah, dalam sidang media tersebut, Azmin tidak berada di sebelah Anwar seperti kebiasaan dan hanya melihat dari bilik lain.

Kita tidak nafikan hubungan Anwar dan Khalid sememangnya baik, berdasarkan mandat mentadbir Selangor diberikan kepada Khalid sejak 2008.

Kita tidak nafikan Azmin, pemimpin yang layak dan mampu memikul tanggungjawab sebagai menteri besar berdasarkan pengaruh beliau dalam Adun-adun di Selangor.

Namun, teori ini masih samar kerana jika dilihat dalam mata kasar Azmin masih lagi memberi sokongan kepada pencalonan Anwar dan bersungguh-sungguh untuk memenangkan PKR dalam pilihan raya ini.

Oleh demikian, wujud pula teori kedua, iaitu Azmin sebagai watak utama dalam 'al-kisah PRK Dun Kajang' ini.

Jika dilihat dari jawatan Azmin dalam parti, beliau sememangnya layak untuk diangkat sebagai pemimpin utama dalam barisan PR di masa akan datang.

Sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau dilihat sebagai pemimpin yang akan menggantikan Anwar di masa  depan untuk mentadbir sesebuah kerajaan.

Teori yang cuba dibangkitkan ini mungkin dilihat sebagai sinis, namun masih ada relevannya.

Andaikan sekiranya, Azmin mempunyai cita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri, apakah langkah utama yang perlu beliau lakukan?

Pastinya, Azmin perlu untuk singkirkan proksi-proksi Anwar terlebih dahulu untuk memudahkan beliau menjadi satu-satunya pilihan untuk menjadi ketua dalam parti dan seterusnya melebarkan pengaruhnya  menjadi orang utama mengemudi barisan hadapan pakatan pembangkang.

Teori ini disokong oleh sumber boleh dipercayai yang berpendapat Azmin mempunyai perancangan lebih besar dari sekadar isu PRK Dun Kajang.

Berkemungkinan Azmin ingin menilai sejauh mana sokongan terkini rakyat terhadap Anwar yang telah membawa kekalahan kepada PR dalam PRU13 lalu.

Jika Anwar kalah dalam persaingan peringkat Dun, reputasi dan imej Anwar untuk menjadi  perdana menteri pastinya akan tercalar.

Namun, ramai berpendapat Anwar bukan calang-calang pemimpin dan bukan mudah ditewaskan calon lawan (BN), melainkan jika calon setanding antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, ini tidak mungkin berlaku kerana Najib semalam menegaskan tidak timbul isu beliau akan lawan Anwar.

Sekiranya Anwar menang, bagaimana pula? jika dilihat dari sudut pandangan jauh, Azmin masih lagi mempunyai masa dan peluang untuk berbuat demikian.

Ini kerana sekiranya benar pencalonan Anwar di Dun Kajang ini untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar, Azmin pastinya akan menjadi pemimpin utama dalam kerajaan negeri.

Kemungkinan Anwar sebagai menteri besar akan cuba melantik beliau untuk berada dalam barisan exco.

Teori ini perlu dilihat dari sudut, sukarnya untuk mentadbir Selangor khususnya bagi meningkatkan lagi ekonomi negeri, seperti yang berjaya dilakukan oleh Khalid.

Selain mentadbir negeri, menteri besar juga perlu sentiasa mengiringi Sultan Selangor dalam majlis-majlis rasmi.

Ditambah pula dengan Anwar terpaksa menguruskan hal-hal berkaitan parti dan juga PR.

Jika Anwar sibuk menguruskan hal-hal pentadbiran negeri, sudah pasti Azmin akan diamanahkan menguruskan hal-hal berkaitan parti, negeri dan PR.

Ini pastinya memudahkan Azmin untuk membuat sebarang keputusan lebih besar di peringkat nasional dan tidak mustahil akan memberi peluang cerah kepada beliau jika ingin merebut kerusi Presiden PKR dalam pemilihan parti tahun ini.

Berbalik PRK Dun Kajang, ramai tertanya-tanya mengapa perlunya Anwar dicalonkan.

Mengapa perlu Chin Cheh meletak jawatan, sedangkan beliau tidak terlibat sebarang masalah disiplin parti mahupun prestasi buruk.

Teorinya adalah mudah, ini adalah usaha untuk memberi laluan kepada Anwar untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri Selangor.

Hujah ini disokong dengan taraf Anwar lebih dilihat sebagai pemimpin peringkat pusat.

Jadi, jawatan paling relevan untuk Anwar jika menang dalam PRK Dun Kajang pastinya menjadi menteri besar bukan exco, ataupun adun biasa.

Ini kerana, jika Khalid kekal menteri besar dan Anwar menjadi adun, pastinya sukar untuk beliau membuat sebarang keputusan penting termasuk melibatkan kewangan negeri.

Semua sedia maklum, Khalid sememangnya pemimpin tidak suka mencampuradukkan keperluan parti dan keperluan kerajaan negeri.

Walaupun, Anwar dan pemimpin PR yang lain tidak menyatakan kenyataan rasmi berhubung misi Anwar menjadi menteri besar ini, namun rakyat Malaysia sudah dapat membacanya.

Jawapan sama ada Anwar boleh menjadi menteri besar, masih belum lagi pasti kerana di Selangor, untuk menjadi menteri besar perlu mendapatkan perkenan Sultan.

Persoalan sama ada tekaan ini benar atau tidak ini bergantung kepada pandangan masing-masing.