Lebih 3,000 bekas pemimpin pusat, cabang dan ahli PKR akan menubuhkan bilik gerakan khas bagi menggerakan kempen menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Bekas Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata penubuhan bilik gerakan itu sudah dimuktamadkan menerusi perbincangan baru-baru ini dan pihaknya akan memulakan kempen seawal 10 Febuari ini.
Katanya, fokus kempen antara lain untuk menyedarkan pengundi lain untuk menyedarkan pengundi di DUN Kajang mengenai keperibadian Ketua Pembangkang itu dan retorik sebenarnya dalam memanipulasi isu termasuk cubaan mengalihkan perhatian rakyat daripada mengikuti kes liwat yang sedang dihadapinya.
"Sekarang ini kita masih meneliti kawasan strategik yang akan dikunjungi jentera kempen. Semua kampung dan penempatan akan dimasuki bagi sesi penerangan hal sebenar mengenai politik Anwar.
"Selain penerangan dan ceramah, bilik gerakan ini akan menjadi pusat maklumat kepada mana-mana pengundi untuk mengetahui mengenai PKRselain menjawab isu dan fitnah kosong yang dilemparkan pembangkang," katanya dipetik Berita Harian.
Antara pemimpin yang akan menyertai bilik gerakan itu ialah bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin, ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd Noor serta bekas Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.
Mengulas lanjut, beliau berkata PRK kali ini jelas manipulasi terancang yang diatur untuk menutup pelbagai kelemahan dalam pentadbiran PKR di Selangor.
Justeru, rakyat wajar disedarkan mengenai kemelut itu dan jangan lagi mudah percaya dengan sandiwara politik songsang yang dibawa Anwar.
"Saya kenal sangat dia (Anwar) ini, sebab itu dia boleh arah sesiapa saja letak jawatan untuk membolehkan dia bertanding walaupun di Selangor Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) lebih berkuasa kerana dia adalah Pengerusi PKR negeri," katanya lagi.
Sementara itu, Anuar berkata tindakan Anwar menawarkan diri menyertai kepimpinan Selangordilihat seperti 'ketam mengajar anaknya berjalan betul'.
Anwar dibelengu masalah moral yang cukup serius dan tiada kredibiliti langsung untuk menyelesaikan kemelut Selangor. Malahan campur tangan dia di negeri itu bakal meranapkan Selangor kerana Anwar lebih utamakan kepentingan diri daripada kepentingan rakyat," tambahnya.
AntaraPos