Full Speed Waktu Terhempas..!? #MH370 #Pray4MH370 #PrayforMH370

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menjawab pertanyaan pengamal media semasa sidang media mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Kuala Lumpur pada Jumaat. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kanan). Misi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-21 hari ini dan difokuskan di Lautan Hindi selepas analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom merumuskan lokasi terakhir pesawat di tengah-tengah lautan berkenaan. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan laporan kumpulan penyiasat antarabangsa yang mendakwa pesawat MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi terbang lebih laju berbanding jangkaan awal.
Beliau berkata, maklumat itu diperolehi selepas pasukan berkenaan membuat analisis terbaharu yang dibuat berdasarkan data Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.
"Semalam (Khamis) proses ini menghasilkan keputusan baharu bahawa MH370 telah terbang dengan kelajuan lebih tinggi berbanding jangkaan asal.
"Ini bermakna ia menggunakan lebih banyak minyak dan tidak mungkin terbang jauh," katanya pada taklimat media harian mengenai MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat.
Hishammuddin berkata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) telah memberikan maklumat terbaharu ini kepada RCC Australia untuk diteliti dan bagi mengecilkan kawasan carian.
"Pihak berkuasa Australia telah mengubah kawasan carian kira-kira 1,1000km timur laut Perth," katanya.
Jelasnya, perlaihan kawasan carian adalah perkara biasa dalam operasi SAR.
Beliau berkata dengan maklumat dan langkah-langkah yang diambil, pasukan penyiasat percaya dapat lebih memahami laluan sebenar MH370.
Kumpulan penyiasat antarabangsa ini terdiri daripada wakil daripada Inmarsat, AAIB dan Rolls Royce.
"Dari China, Perkhidmatan Maklumat, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), AAID dan dari Amerika NTSB, FAA dan Boeing, termasuklah pihak berkuasa berkaitan dari Malaysia," katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Bagaimanapun pesawat itu hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.
Misi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-21 hari ini dan difokuskan di Lautan Hindi selepas analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom merumuskan lokasi terakhir pesawat di tengah-tengah lautan berkenaan.