Ahli Kariah Surau Al-Ikhlas, Taman Berjaya, Sungai Chua di sini terpaksa menanggung kos menaiktaraf infrastruktur surau dengan mengutip derma ikhlas bagi menampung pertambahan ahli jemaah.
Pengerusi Surau Al-Ikhlas, Jamberi Jailani Ratmin berkata, surau tersebut tidak pernah menerima kunjungan daripada Wakil Rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini dan tidak mengharapkan untuk memohon bantuan dari mereka.
"Sejak tahun 2012 kos bagi menaiktaraf bagi menyediakan ruang sembahyang yang berbumbung hanya kita harapkan daripada kutipan derma surau dan kami tidak melantik mana-mana kontraktor bagi melakukan pengubahsuaian tersebut, kami bergotong royong sesama sendiri.
"Sebelum ini memang tiada wakil rakyat dari PKR yang datang menjenguk untuk menghulurkan bantuan dan pihak kami sendiri tidak pernah memohon bantuan dari mereka (PKR).
"Tetapi surau ini pernah menerima bantuan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM40,000 bagi menampung sedikit kos baik pulih,' katanya kepada Rakyat News.
Jamberi menjelaskan, pengubahsuaian kepada surau yang telah dibuka sejak tahun 1989 itu terpaksa dilakukan setelah surau terbabit mendapat kelulusan untuk melakukan Sembahyang Jumaat pada tahun 2010.
Katanya, pihaknya kini memerlukan kos sebanyak RM100,000 lagi kerana sehingga kini surau terbabit perlu menampung sehingga 2000 jemaah ketika Sembahyang Jumaat dan Sembahyang Sunat Hari Raya.
"Terdapat juga bumbung yang dibuat sebelum ini perlu digantikan kerana telah mengalami kebocoran dan kita juga terpaksa membina bumbung di tepi perkarangan surau kerana ada jemaah terpaksa sembahyang di bawah terik matahari.
"Tempat letak kereta juga perlu diturap kerana ianya akan berlopak ketika hujan selain ada jemaah yang terpaksa solat di situ jika ruangan dalaman telah penuh," ujarnya.
Post a Comment