Anggota Keluarga Penumpang #MH370 Diberi Taklimat Hari Ini



Pihak berkuasa mengendalikan penyiasatan dan pencarian pesawat Malaysia yang hilang, hari ini mengadakan perjumpaan dengan lebih 40 anggota keluarga penumpang pesawat itu yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi.

Mereka termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud, Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Duta China di Malaysia Huang Hui Kang dan pasukan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB).

Mereka tiba antara 9 pagi hingga 9.45 pagi di Hotel Bangi-Putrajaya ini, anggota keluarga berkenaan ditempatkan, kebanyakannya warga China.

Difahamkan anggota keluarga itu akan diberikan taklimat khas tertutup tentang perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Taklimat itu dijangka berlangsung selama dua jam dan difahamkan juga akan disiarkan secara langsung menerusi telesidang kepada anggota keluarga penumpang yang lain di China.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi". - BERNAMA


Post a Comment