#PRKBukitGelugor PAS Takut Mengaku Mohamed Nabi Bux Ahlinya Kerana Takut Undi PAS Tidak Kepada DAP


Calon Bebas pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar tetap menegaskan beliau adalah ahli PAS dan percaya pemimpin parti itu enggan mengakuinya kerana takut penyokong Pas di kawasan berkenaan menyokongnya.

Mohamed Nabi Bux, 63, berkata, beliau tidak kisah dengan penafian keanggotaannya oleh pemimpin tertinggi Pas kerana mempunyai bukti yang sahih dan jelas bahawa beliau adalah ahli parti itu.

“Saya ada baca dalam akhbar hari ini bahawa Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali masih menafikan keahlian saya. Memang sedih tetapi saya sebenarnya percaya pemimpin tertinggi parti itu sekarang ini sudah melatah dan takut mengakuinya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini hari ini.

Isu kesahihan keahlian Mohamed Nabi Bux dalam Pas mula diperkatakan sejak beliau menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan berhasrat melaksanakan hukum hudud di Pulau Pinang menjelang 2020.

Pada pilihan raya kecil 25 Mei ini Mohamed Nabi Bux akan berdepan Ramkarpal Singh Deo daripada DAP dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan serta seorang lagi calon Bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Pas turut menyatakan sokongan kepada calon DAP yang merupakan sekutu parti itu dalam pakatan pembangkang.

Sementara itu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hassan Ali ketika dihubungi Bernama berkata, secara amnya jika seseorang itu mempunyai sijil perakuan ahli Pas, beliau adalah ahli parti itu kecuali keahliannya dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. – BERNAMA

Post a Comment