#PRKBukitGelugor Penentu Adakah PAS Betul Ikhlas Melaksana Hudud

Ramai pemerhati politik melihat PRK Bukit Gelugor ini sebenarnya menjadi tanda aras penting yang akan menguji kewarasan fikiran penyokong PAS kerana salah seorang calon BEBAS yang menyertai PRK membawa tema hudud.

Sedari awal lagi umum mengetahui PAS telah mengasingkan diri dari dikaitkan dengan Mohamed Nabi Bux Mohd Abdul Sathar meskipun ternyata benar calon BEBAS tersebut memiliki sijil sah keahlian parti itu.

Soal PAS masih berkeras menafikan Mohamed Nabi adalah ahlinya, itu pertikaian dalaman antara mereka, yang ramai ingin lihat semasa keputusan PRK Bukit Gelugor diumumkan nanti ialah berapa banyak jumlah undi yang diperolehi calon BEBAS itu.

Jumlah undi yang dimiliki Mohamed Nabi kelak akan mencerminkan sejauh mana penerimaan penyokong PAS terhadap isu hudud yang dibawanya dan ia boleh dijadikan sandaran untuk menguji kewarasan fikiran penyokong PAS dalam mendepani isu ini.

Dalam PRU-13 yang lepas secara kasarnya dianggarkan paling tidak pun lebih kurang 3,000 undi yang diperolehi mendiang Karal Singh datangnya dari kalangan penyokong PAS sekalipun mereka mengetahui Karpal adalah penentang utama perlaksanaan hudud PAS.

Kali ini anak Karpal, Ramkarpal Singh pula yang menjadi calon dan pendiriannya juga selari dengan mendiang ayahnya untuk menolak hudud termasuk bersedia untuk mengundi menentang usul hudud sekiranya PAS masih berkeras membawa usul itu ke Parlimen.

Kemenangan RamKarpal kelak sekiranya adalah hasil dari sokongan ahli dan penyokong PAS bermakna suara penentangan hudud oleh DAP di Parlimen akan kian kuat dan bakal menjurus kepada kegagalan perlaksanaan hudud di Kelantan.

Bagaimana pun misal kata keputusan malam nanti menunjukkan calon BEBAS Mohamed Nabi beroleh melebihi 3,000 undi, dari sudut lain sepintas lalu kita boleh andaikan ahli dan penyokong PAS di Bukit Gelugor masih waras kerana benar-benar menganggap soal perlaksanaan hudud adalah satu isu yang serius dan wajib diperjuangkan.

Dari situ kita boleh membuat tanggapan pendirian ahli dan penyokong PAS di tempat lain termasuk di Teluk Intan juga sedemikian.Namun jika sebaliknya di mana Mohamed Nabi cuma beroleh beberapa ratus undi sahaja, maka jelaslah bagi pemimpin dan penyokong PAS isu perlaksanaan hudud hanya soal titik bengik yang boleh digadai dan dijual beli sekaligus membuktikan kesanggupan mereka tunduk pada DAP demi kepentingan politik kepartian.

Khalayak akan melihat keputusan itu kelak sebagai satu bentuk kecelaruan fikiran dikalangan pemimpin, ahli dan penyokong PAS kerana sanggup bersekongkol dengan DAP yang menentang perlaksanaan hudud dengan membelakangkan perjuangannya sendiri.

PRK Bukit Gelugor mungkin dianggap enteng oleh sesetengah pemimpin PAS, akan tetapi di sinilah titik tolak penting di mana akan terserlah sikap sebenar PAS samada ikhlas atau sekadar mempolitikkan isu perlaksanaan hudud.

Post a Comment