#PRKTelukIntan Mah Siew Keong BN Lawan Dyana Sofya Mohd Daud DAP



Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad membuat pengumuman itu di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak pada pukul 10.21 pagi ini.

Beliau berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada Mah pada 9.05 pagi dan daripada Dyana Sofya pada 9.08 pagi.

Proses penamaan calon yang dibuka sejak 9 pagi tadi berjalan lancar dan ditutup tepat pada 10 pagi.

Mah, 53, yang berpakaian baju kemeja berlogo BN dan 1Malaysia diiringi ke pusat penamaan calon oleh penyokong BN yang diketuai Timbalan Presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 8.45 pagi.

Calon DAP Dyana Sofya, 27, yang berpakaian baju kurung hijau muda pula diiringi kedua ibu bapanya iaitu Mohd Daud Ismail dan Yamani Samat serta Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada 8.55 pagi.

Antara pemimpin BN yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir luar negara layak mengundi pada PRK itu.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah Leong Peng memperoleh 27,399 undi menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong (20,086 undi) dan calon bebas Moralingam Kannan (279 undi) dengan majoriti 7,313 undi.

Post a Comment