UMNO tolak Islam? Apa buktinya? UMNO Golongan sekular?
Pernah kah Nik Aziz memuji apa yang UMNO lakukan untuk Islam selama ini?. Sedarkah Nik Aziz bahawa Kerajaan yang diterajui oleh UMNO telah melakukan banyak perkara untuk Islam tetapi tidak mencanang seperti yang PAS canang. Bukankah kerajaan UMNO telah mendirikan beribu-ribu masjid dan surau di seluruh negara. Jika tak buat, PAS akan cakap UMNO tak prihatin. Bila buat, lain pula tohmahan di buat.
Kerajaan UMNO juga telah bertindak melaksanakan banyak perkara yang boleh membantu dan meningkatkan syiar Islam seperti menubuhkan Tabung Haji, Institusi Baitulmal, JAKIM, IKIM, Muzium Islam, Pusat Islam bahkan membina masjid yang indah di beberapa tempat seperti Masjid Putrajaya, Masjid Wilayah Persekutuan dan lain-lain.
Begitu juga dengan Sistem Perbankan Islam dan insurans Islam dan beberapa instrumen Islam dalam beberapa bidang tertentu, menjadikan telah Malaysia model rujukan negara Islam lain. Sistem perbankan contohnya, 21 produk bank Islam telah berjaya diwujudkan antaranya al-Wadiah, al-Mudharabah, al-Musyarakah, al-Murabahah, al-Bai bithaman ajil, Bai’ul-salam, al-Ijarah, al-Bai al-ta’jiri, al-Wakalah, al-Rahn, al-Qardhul hassan dan al-Kafalah. Begitu juga Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) di mana institusi kewangan yang ada dibenarkan dan digalakkan untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan prinsip syariah. Adakah kerajaan PAS,DAP atau PKR yang buat semua ini?
Begitu juga dalam sistem pendidikan. Bukankah kerajaan UMNO telah mewujudkan sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah dirancakkan lagi dengan lahirnya kolej-kolej dan Pusat–Pusat Pengajian Tinggi Islam milik kerajaan negeri dan swasta seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) pada 1980, Kolej Islam Melaka (KIM) pada 1994, Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) ada 1996, Kolej Universiti Teknologi Islam (UNITI) pada 1997 dan Jamiah Islamiah Sultan Ismail Petra (JAIPETRA) juga pada 1997.
Kerajaan UMNO juga telah menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang ditubuhkan pada 1983 merupakan mercu pendidikan Islam di Malaysia. Pusat Pengajian Tinggi Islam ini mengadunkan pelbagai disiplin ilmu dengan kemantapan iman dan kefahaman Islam yang jelas, luas dan dinamik. Graduannya yang datang dari 73 buah negara melambangkan betapa mutu pendidikan dan kualiti tenaga pengajarnya diterima dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Dalam konteks penghayatan Al-Quran, Kerajaan pimpinan UMNO juga telah menubuhkan Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan bagi melahirkan para hafiz dari kalangan lelaki dan wanita. Objektif jangka panjang kerajaan dengan terbinanya Darul Quran yang bernilai RM26 juta ini adalah untuk membekalkan para hafiz sebagai imam-imam masjid di seluruh negara. Apa yang lebih menariknya ialah institusi pengajian tinggi dalam bidang tahfiz al-Quran ini menerusi Diploma Tahfiz Al-Quran telah berjaya menyatupadukan semua maahad dan madrasah tahfiz al-Quran sama ada milik kerajaan negeri atau swasta di seluruh Malaysia khususnya dari segi kurikulum dan tempoh pengajian.
Aktiviti penghayatan al-Quran yang dilaksanakan oleh Kerajaan yang diterajui oleh UMNO ialah dengan menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan juga Peringkat Antarabangsa. Penyertaan peserta dari negara-negara asing yang semakin bertambah dari tahun ke tahun menunjukkan sambutan yang menggalakkan dari masyarakat antarabangsa dan betapa Malaysia mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi di persada antarabangsa.
Apa yang lebih penting ialah perjalanan proses pemilihan qari dan qariah di Malaysia yang melalui peringkat kampung, mukim, daerah, negeri seterusnya kebangsaan sudah pasti disertai oleh ratusan qari dan qariah yang baik bacaan dan kefasihannya. Proses yang memakan masa berbulan-bulan ini sebenarnya telah memenuhkan ruang langit negara Malaysia dengan kemerduan bacaan ayat-ayat al-Quran. Begitu juga buminya dibasahi dan disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran. Suasana seperti ini sebenarnya mendekatkan negara kita dengan keberkatan daripada Allah s.w.t. lantaran menyuburkan ruang angkasa dan bumi permainya dengan mukjizat al-Quran.
Dalam konteks peningkatan syiar islam, kerajaan UMNO juga telah menganjurkan pelbagai acara sambutan dan perayaan setiap tahun seperti Majlis Sambutan Ma’al Hijrah, Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Nuzul Al-Quran, Israk Mikraj, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Marhaban, Musabaqah Tilawah Al-Quran, Pertandingan Menghafaz Al-Quran, Pesta Lagu-Lagu Dakwah dan sebagainya sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Program-program yang mencetuskan kesedaran dan keagungan kepada agama Islam yang seumpama ini sangat penting terutama bagi perjuangan ummah memartabatkan Islam di muka bumi ini.
Program dan aktiviti seperti ini adalah unsur pendidikan tidak formal yang sangat penting bagi menimbulkan rasa cinta kepada Allah, kasihkan Rasulullah s.a.w. dan semangat untuk mematuhi ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.
Usaha membangun kekuatan ekonomi Melayu yang dibuat oleh kerajaan UMNO contohnya adalah suatu usaha yang berterusan dan menepati tuntutan Islam. Islam melihat aspek kekuatan ekonomi adalah sesuatu keperluan yang sangat penting. Tanpa kekuatan ekonomi, bangsa Melayu yang juga Islam akan pincang dan akan dipinggirkan. Dan ini akan sekaligus menjadi agama Islam itu sendiri tidak dilihat sebagai agama yang berwibawa untuk membangun tamadun manusia. Islam adalah agama untuk umat manusia. Justeru itu jika bangsa Melayu menghayati pendekatan Islam dalam membangun ekonominya, ia sekaligus mampu memberi kesan yang positif kepada kesemua ahli masyarakat.
Pendekatan Islam yang dibawa oleh kerajaan UMNO adalah dalam membangun kekuatan ekonomi mengambil pendekatan pembangunan manusia secara syumur dan sepadu (harmoni) dalam kesemua aspek keperluan pembangunan manusia seperti kerohanian dan kebendaan; kepentingan individu dan tanggungjawab individu kepada masyarakat; kepentingan generasi sekarang dan keperluan generasi masa hadapan; menghayati akhlak dalam kegiatan ekonomi dan sebagainya. Pendekatan ini membolehkan kejayaan ekonomi dicapai secara mantap dan mampu memperoleh kejayaan secara berterusan kerana pencapaian tersebut dijayakan melalui fitrah kemanusiaan.
Sebenarnya selama ini terlalu banyak usaha-usaha kerajaan UMNO yang telah dibuat dan disokong bagi membawa pembangunan kepada umat Islam di Malaysia seperti penubuhan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Pusat-pusat Rawatan Islam, Kolej Kejururawatan Islam, Perpustakaan Awam Islam, Sijil Pengesahan Halal, Darul Sa’adah, Yayasan-Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, Biro Bantuan Guaman, Sistem Maklumat Perkahwinan Islam (SIMPI) dan sebagainya.
Sesungguhnya masa depan Islam di Malaysia sudah menampakkan cahaya kecemerlangannya dibawah kepimpinan UMNO. Rata-rata umat Islam negara ini merasa terjamin dan berganding bahu dalam meneruskan usaha-usaha pembangunan dan kemajuan Islam yang sedang rancak dilaksanakan.
ghostwriter: Apa kerajaan Pakatan Rakyat buat untuk ISLAM?
Post a Comment