Kedudukan orang Melayu semakin kritikal

Orang Melayu perlu bersatu dan menjadi kuat untuk mempertahankan Perlembagaan, kata Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Kajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengingatkan tanpa kuasa, orang Melayu tidak akan mampu menentukan kedudukan mereka di tanah air sendiri.

‘‘Saya melihat kedudukan orang Melayu sekarang sangat kritikal sebab rakyat Malaysia tidak lagi melihat hak-hak istimewa itu sebagai milik mereka termasuk orang Melayu sendiri terutama generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Perlembagaan Persekutuan: Hak, Cabaran dan Peranan Orang Melayu sempena Perhimpunan Melayu Perak di sini hari ini.

Perhimpunan anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu dirasmikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Mengulas lanjut, Ramlah yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa Malaysia berkata, beliau bimbang sekiranya tiada langkah-langkah tertentu diambil, orang Melayu akan semakin melupakan haknya sendiri.

‘‘Kita kena sedarkan mereka bahawa Perlembagaan adalah sesuatu yang sangat luhur dan tidak sepatutnya dibiarkan diganggu-gugat oleh orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, perpaduan di antara dua parti Melayu iaitu UMNO dan Pas adalah perkara yang patut direalisasikan.

Jelas Ramlah, perpecahan yang menghantui orang Melayu bukan sahaja membabitkan ideologi politik tetapi juga berkaitan faktor sikap.

Dalam perkembangan sama, tegas beliau, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan 1Malaysia adalah untuk mencapai perpaduan kaum bukan sebagai saluran mendesak kesamarataan.

‘‘Keharmonian Barisan Nasional ketika era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, malah Tun Dr. Mahathir Mohamad kini semakin hilang,” katanya.
sumber utusan

Post a Comment