GALAS : BIARPUN PAS BERDALIH,HAKIKATNYA EPISOD KEJATUHAN PAS KELANTAN TELAH BERMULA


Pasca Pilihanraya Kecil N.45 DUN Galas menyaksikan  Pas tampil dengan pelbagai analisis dan pandangan seolah-olah cuba memberi  gambaran kepada umum  bahawa mereka masih ‘relevan’ dalam konteks politik tanah air khususnya di Kelantan.

Yang pasti, ‘peluru sesat’ Pas terus dituju kepada Barisan Nasional walaupun majoriti pengundi Galas telah bersuara pada 4 November lepas dan mengambil keputusan untuk serahkan kembali Galas kepada BN daripada cengkaman Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan sendiri meragui keputusan PRK yang secara simboliknya adalah suara rakyat Galas. Adakah ini menggambarkan Pimpinan Pas tidak menghormati saluran demokrasi? Sedangkan kaedah yang sama membolehkan Pas menguasai Kerajaan Negeri Kelantan?

Ironinya,  pelbagai helah, dakyah dan tuduhan melulu ini menunjukkan seolah-olah Pas ingin ‘lepas geram’ dengan menganggap pengundi Galas ‘bodoh dan buta’ politik kerana tidak memenangkan mereka. Adakah Pas beranggapan mereka tidak celik politik untuk membezakan antara fakta dan ‘auta’ dalam memilih parti yang terbukti mampu  berbakti dan membela nasib mereka selama ini?

Hakikatnya, kekalahan Pas di Galas sepatutnya membuka ruang untuk mereka muhasabah diri.  Pas perlu nilai sendiri apakah janji pembangunan telah mereka kotakan demi kebajikan rakyat Galas selepas mereka diberi kepercayaan pada Pilihanraya Umum Ke-12 lalu. Jika tidak kerana mereka mungkir janji, masakan pengundi menolak wadah politik Pas di Galas?

Mahu atau tidak, harus diakui kekalahan Pas dalam PRK kali ini adalah kerana kesilapan percaturan politik Pas yang ‘membuka pekung di dada’ sendiri apabila ada segelintir pemimpin Pas secara terang-terangan menawarkan ‘imbuhan’RM250 kepada pengundi luar yang disifatkan menyalahi peraturan Pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri.
Ini turut diburukkan lagi dengan terakamnya gambar Nik Aziz memberi wang  ‘zakat’ kepada tiga orang asli di Lojing meskipun Pas mendakwa mereka berhak menerimanya di bawah asnaf yang lapan. Cuma silapnya,ia diberi di musim pilihanraya secara terang-terangan dan tindakan itu tentunya mudah ditafsir sebagai politik wang. Bukankah ada pepatah Melayu menyebut,’Tangan Kanan Memberi, Sorokan Tangan Kiri’ cara terbaik dalam membuat kebajikan?

Dengan mengamalkan sikap berdolak –dalih, hakikatnya Pas terperangkap dalam jeratnya sendiri sehingga tindakan berkenaan telah merubah perspektif segelintir rakyat bahawa Pas adalah parti politik yang ‘suci’ daripada pengaruh politik wang.

Keadaan diburukkan lagi apabila Pas dalam siri kempennya menyaksikan Nik Aziz bertikam lidah dengan Ustaz Mohd Nor Idris, bekas AJK Pas Pusat di rumah seorang bekas wakil rakyat Galas dari  Semangat 46,Haji Omar Mohamad. Tentunya isu ini turut mempengaruhi sedikit sebanyak mood pengundi . Yang pasti, adab bertamu dan adab berbeza pandangan gagal diamalkan dalam ‘pertembungan’ ini.

Apa pun, isu sebenar adalah kegagalan Pas Kelantan menyantuni penduduk luar bandar dan masyarakat orang asli dalam menyediakan pembangunan infrastruktur yang lebih baik, serta kelemahan pengurusan tanah ladang rakyat yang menjadi faktor utama penolakan rakyat terhadap Pas di Galas.

Pemilihan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh selaku Pengarah Pilihan raya BN turut menjadi faktor penyumbang berdasarkan penguasaan politik serta pengalaman beliau bersama masyarakat tempatan. Ku Li masih dilihat sebagai ‘ikon’ yang cukup berpengaruh di peringkat akar umbi, sekali gus memberi impak politik yang disasarkan BN kali ini.

Jika permuafakatan dikalangan pemimpin UMNO negeri ini mampu dikekalkan selain ‘momentum’ Galas  dijadikan platform BN untuk kembali bertapak kukuh di Kelantan, makanya tidak mustahil PRK Galas menjadi titik tolak bermulanya episod kejatuhan penguasaan dan pengaruh Pas di Kelantan.

Post a Comment