Teka teki-bilakah Parlimen akan dibubarkan bagi membolehkan Pilihanraya Umum ke-13 diadakan masih belum menampakkan tanda-tanda ia membekalkan satu jawapan positif. Kemenangan cemerlang BN Sarawak tempoh hari dalam pilihanraya negeri juga ada ironinya.
BN dan UMNO mempunyai masa untuk membuat post mortem tentang kekuatan sebenar BN sebelum sebarang keputusan membubarkan Dewan Rakyat dilakukan. Ini kerana kemenangan majoriti dua pertiga pilihanraya umum DUN Sarawak itu dan kaitannya dengan apa yang bakal berlaku di Semenanjung serta Sabah kelak, buat masa ini hanyalah tidak lebih dari merupakan kemenangan di atas kertas.
Begitupun, di sebalik pelbagai analisis, kemenangan itu jika diterjemahkan kepada sokongan sebenar rakyat terutama pengundi Cina, ia masih belum mampu mententeramkan minda Presidennya yang juga Perdana Menteri Malaysia.
Hakikat BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri walaupun dirundung pelbagai ketidak-pastian pra-tempoh pembuangan undi itu mungkin menggembirakan Datuk Seri Najib Tun Razak namun kekalahan yang dialami hampir kesemua calon SUPP adalah suatu yang amat mendukacitakan. Kalau Najib dapat tidur pada malam itu serta pada masa yang sama Pehin Tan Sri Taib Mahmud selaku Ketua Menteri sejak 1981 nyenyak dibuai kemenangan, keputusan yang tersirat itu akan tetap mengganggu momentum kemenangan BN secara keseluruhan.
Sepanjang 12 bulan kebelakangan ini, tanda-tanda masyarakat Cina pulang ke pangkuan BN semakin memberi impak dalam beberapa siri pilihanraya kecil. Justeru dari congak politik yang dibuat, pilihanraya negeri Sarawak adalah penentu sama ada mereka kekal dengan BN ataupun kekal dengan pihak pembangkang.
Najib sendiri dari awal dapat melihat kebangkitan gelombang rakyat yang memihak kepada BN sehingga secara tidak langsung Perdana Menteri memberi bayangan bahawa pilihanraya umum mungkin diadakan dalam tempoh terdekat berasaskan keputusan pilihanraya negeri Sarawak.
Walaupun sinar cerah dapat dijangka namun awam hitam yang turut berarak seiring dengan jangkaan Najib itu membuatkan Pengerusi BN itu terpaksa meneliti semula sebarang rancangan mengadakan pilihanraya umum dalam masa yang dikatakan terdekat itu.
Parti-parti politik yang sudah bersedia untuk terjun bertarung dalam pilihanraya ke-13 terpaksa menekan brek. Saya menjangkakan penangguhan ini sehingga satu formula dapat ditemui. Selagi formula untuk mendapat semula sokongan masyarakat Cina ke pangkuan BN gagal diperolehi, selagi itu pilihanraya umum terpaksa sekadar menjadi teka-teki.
Seperti yang diketahui, SUPP ataupun akronimnya Sarawak United People Party (Parti Bersatu Rakyat Sarawak) iaitu salah satu parti komponen BN Sarawak, adalah parti yang mewakili kaum Cina di negeri itu. Ia tidak ubah seperti MCA di semenanjung yang memperjuangkan nasib bangsa yang sama di kawasan sebelah sini.
Kadangkala SUPP dan MCA tidak dapat mengelak dari dilabel parti towkeh kerana kebanyakan ahli-ahli terutama mereka yang rapat dengan pucuk pimpinan mempunyai kekayaan yang agak luar biasa. Kalau masyarakat Cina boleh dikatakan sepanjang masa berniaga, masyarakat Melayu serta bumiputra lain sama ada di Sarawak, Sabah ataupun di Semenanjung, hampir sepanjang waktu bermain politik.
Kedai dan warong kopi di kampung-kampung sentiasa berperanan sebagai dewan rakyat atau dewan negeri tidak rasmi bagi mereka yang menjadikan diri sendiri sebagai wakil rakyat untuk berbahas. Pendek kata kadangkala secawan kopi memakan masa berjam-jam untuk dihabis hirup kerana suhu perbahasan yang hampir mencecah ke paras berjaga-jaga. Sedang asyik orang Melayu bersilat politik, bagi pengundi-pengundi Cina pula perniagaan yang mereka ceburi memang tiada tandingan dan amat sukar untuk disaingi oleh pribumi yang lain.
Kekayaan mereka barangkali berpunca dari penceburan mereka dalam dunia perniagaan sejak lama sebelum Merdeka lagi. Kelebihan berada di kalangan pembuat dasar negeri dan negara membolehkan mereka turut sama merebut peluang perniagaan sama ada perniagaan membalak seperti di Sarawak, penanaman kelapa sawit di Sabah serta kontrak di Semenanjung ataupun apa saja peluang perniagaan bertaraf mega dan juga separa mega dan mempunyai nilai kontrak di antara puluhan sehingga ratusan juta ringgit tetapi tidak mencecah angka bilion.
Seperti yang dapat dilihat pembangunan di Kuching, Sibu, Miri, sebagai contoh, amatlah mengkagumkan berbanding di lain-lain kawasan apatah lagi kawasan pedalaman. Untuk rekod kawasan-kawasan yang disebut itu majoritinya dihuni oleh penduduk berketurunan Cina. Perbandingan ketara ialah penduduk di kawasan yang menyokong BN serta memberikan kemenangan mutlak adalah di kawasan yang majoritinya berbangsa Iban, Melayu dan kaum bumiputra yang lain.
Kita tidak tersasar merumuskan betapa pengundi Cina di Sarawak secara terbuka menentang pemerintahan kerajaan BN berbanding dengan sokongan yang dipamerkan oleh masyarakat pribumi dan bumiputra yang lain. Pola perkauman atau elemen rasisme sudah meresap ke negeri itu dan telah berjaya mewujudkan puak di antara masyarakat berbilang kaum. Kita tidak boleh menidakkan keupayaan DAP memainkan sentimen rasisme ini sebagai umpan menarik sokongan pengundi Cina.
Natijah dari keputusan Pilihanraya Umum Negeri Sarawak ke10 itu menguatkan hujah betapa SUPP hanyalah tidak ubah seperti sebuah organisasi untuk membolehkan sebilangan besar ahli-ahlinya terutama pemimpin bahagian di pelbagai peringkat menjadi saudagar yang berjaya. Dan bagi majoriti rakyat berketurunan Cina Sarawak nasib mereka seperti terabai oleh parti yang konon memperjuangan kelompok keturunan mereka sendiri.
Seperti yang kita sering saksikan bila berlaku tempias ini, UMNO lah yang menjadi sasaran atau menjadi kambing hitam. Konon kerana dasar UMNOlah maka prestasi parti berteraskan kecinaan ini merosot.
Pengundi-pengundi Cina tertarik untuk berpihak kepada pembangkang terutama DAP adalah kerana kekecewaan serta kerana sudah wujud satu gap antara masyarakat Cina kelas atasan serta Cina kelas biasa. Hal ini timbul kerana umum melihat pembolotan kekayaan dilakukan oleh ahli-ahli SUPP dalam bidang perniagaan dan ini menyebabkan masyarakat Cina yang berada dalam kelas biasa sudah hilang kepercayaan kepada SUPP.
DAP pada perkiraan mereka walaupun ia adalah parti import dari Semenanjung namun kerana kekecewaan ini, kebanyakan masyarakat Cina dalam kumpulan yang disebut itu tadi memilih DAP sebagai satu protes. Bayangkan dari 15 kerusi dipertandingkan, DAP berjaya memenangi 12 berbanding SUPP yang meletakan calon di 19 kawasan dan tewas 13 kerusi.
Rayuan mantan Pengerusi BN Tun Dr Mahathir Mohamed sehari sebelum hari pembuangan undi pada 16 April agar para pengundi Cina terus menyokong BN langsung tidak diendahkan.
Kekalahan teruk SUPP termasuklah kekalahan Presidennya Tan Sri George Chan Hong Nam di kawasan DUN Piasau di tangan calon DAP yang baru berusia 28 tahun, Ling Sie Kiong suatu tamparan hebat serta keputusan yang sukar ditelan oleh BN pusat.
George Chan yang berasal dari Miri bukanlah muka baru malah rekod perkhidmatannya sangat cemerlang lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri.
Dalam satu kenyataan, beliau bernekad untuk bersara dari dunia politik dan “akan kembali ke Miri kerana ia memang tempat asal saya. Boleh dikatakan separuh daripada penduduk di sana masih menyokong saya.”
Namun apa juga keputusan yang bakal diambil oleh George Chan sudah tentu bukan dapat memulihkan imej BN dikalangan masyarakat Cina.
Rumusan dari keputusan pilihanraya Sarawak ini ialah tidak semestinya pengundi Cina menentang dasar UMNO. Apa yang berlaku sebenarnya ialah mereka keliru dengan manipulasi sesetengah pihak yang mengutamakan agenda peribadi daripada agenda perpaduan kaum. Pada perkiraan kita mereka sudah muak dengan parti komponen BN yang berteraskan kaum mereka tetapi langsung tidak ada agenda membela nasib mereka.
Pengundi Cina tidak menikmati hasil pembangunan dan peluang perniagaan kerana peluang itu direbut oleh peniaga Cina yang berada dalam SUPP yang rapat dengan Ketua Menteri. Contoh terdekat yang sering dijadikan perbandingan masyarakat Cina dan sering disebut ialah skandal PKFZ yang kini dalam proses pengadilan di mahkamah. SUPP, MCA dan Gerakan hendaklah membuat satu reformasi dalaman agar masyarakat Cina nampak siapa yang sebenarnya menganaktirikan mereka dan tidak harus selalu menjadikanUMNO kambing hitam.
Selama ini pengundi Melayu memberikan sokongan kepada kerajaan BN dengan harapan nasib mereka terutama di bidang perniagaan dan pekerjaan serta pembangunan di kawasan luar bandar dititikberatkan. Tetapi nampaknya pembangunan bertaraf mega masih terus berpusat di Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh dan Kuala Lumpur saja, iaitu kawasan yang didominasi penduduk keturunan Cina. Sebaliknya kawasan kampung dan luar bandar yang ramai penduduk Melayu sekadar mendapat tempias.
Sekiranya senario seperti ini berterusan dalam politik Malaysia maka kemungkinan pengundi Cina akan hilang kepercayaan sama sekali terhadap BN lalu menggabung tenaga untuk mengundi DAP, parti pembangkang Cina tunggal, sebagaimana yang mereka lakukan pada pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1969 dan seterusnya secara konsisten memenangi beberapa kerusi Parlimen dan DUN di beberapa buah negeri.
Sejarah politik Malaysia membuktikan kehadiran pembangkang Cina di Parlimen mahupun DUN bukan sahaja tidak relevan dari segi fizikalnya untuk memperbaiki nasib rakyat berketurunan Cina malah, lebih buruk daripada itu, ia mengakibatkan kesan bertentangan – membawa seluruh politik dan keharmonium kaum menjadi tidak stabil.
Justeru sekiranya MCA, SUPP, Gerakan dan parti komponen Cina lain, serta parti keturunan lain dalam BN tidak lagi dapat menjaga dan memperjuangkan nasib keturunan masing-masing dalam konteks dan semangat BN, maka mungkin sudah sampai masanya tanggungjawab tersebut diserahkan kepada UMNO sahaja. Rekod UMNO sejak 1957 menunjukkan betapa inilah peranan yang dimainkan oleh UMNO walaupun parti itu berasaskan asprirasi orang Melayu.-24/4/2011
sumber : AgendaDaily
GHOSTWRITER | Jangan dibiarkan anak sendiri mati kelaparan dek kerana kera dihutan disusukan!!!
- Posted using BlogPress from my iPad
Post a Comment