Kawan-kawan, saya tidak mencadangkan penggabungan UMNO-PAS. Saya mencadangkan muzakarah UMNO-PAS. Presiden PAS kata setuju dan Timbalan Presiden UMNO menyambutnya. Jika diikutkan dendam politik memang banyak. Tapi wajarkah kita selalu berdendam sedangkan banyak lagi masalah rakyat dan negara yang perlu diselesaikan?
Saya bawakan kisah Mugabe-Tsvangirai dan penyatuan negara-negara yang pernah berpecah untuk menunjukkan betapa kesediaan untuk berunding setelah sudah parah dengan perbezaan, akhirnya membuahkan sesuatu yang baik. Baik ini bukan untuk parti dan individu pemimpin, tetapi baik untuk rakyat dan negara.
Jika tidak setuju bermuzakarah, jangan sebut lagi soal bermuzakarah dan teruskanlah perjuangan dengan cara masing-masing. Tapi, jika itu pilihan kita, bilakah kita boleh menyelesaikan isu-isu tertunggak rakyat dengan cara yang tuntas--baik itu soal royalti, lebuh raya, hukum hudud, kenaikan harga barang dan lainnya?
Betul, parlimen tempat ahli politik berbahas. Tapi kita tahukan, parlimen juga adalah tempat bagi parti yang menguasai majoriti mendominasi perbahasan Dewan. Perbahasan pula ada ketikanya penuh dengan emosi dan terbelah kepada pandangan kepartian. Tidak ada suasana tenang dalam perbincangan. Maka, bagi mewujudkan suasana tenang dan penuh persaudaraan, saya menyokong cadangan muzakarah diadakan.
Buatlah agenda tersusun dengan syarat-syarat muzakarah terlebih dahulu jika itu diperlukan. Apa payahnya? Setuju atau tidak kepada isu perundingan itu perkara lain, tetapi sebagai awalnya jangan terlalu pesimis sebelum perbincangan diadakan. Itulah maksud saya.
Saya letih memikirkan cara untuk mengajak semua kawan menerima pendekatan baru dalam politik kerana di akhirnya yang dicaci ialah individu pemimpin, termasuk saya, seorang individu biasa yang cuba mengajak kita kepada ‘perdamaian’. Politik kita sudah sampai ke tahap kronik yang penuh dengan kebencian. Saya juga ada perasaan benci dan dendam dalam kehidupan. Tetapi demi rakyat dan negara, saya sudah lama meninggalkan perasaan seperti itu jika saya nampak ada kebaikan di hadapan yang boleh dicapai rakyat dan negara.
Pemimpin dan penyokong parti masing-masing, buanglah ego yang tersemat di dada. Buanglah rasa dendam dan benci yang tersemat di jiwa. Saya yakin, di satu sudut kecil dalam hati kita, masih ada ruang untuk saling menyayangi dan mempercayai.