NGO Islam DEDAHKAN #AnwarIbrahim mempunyai 'sifat-sifat kedajjalan' #MalaysiaNews


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mendedahkan sebab mengapa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim 'tidak layak' dipilih sebagai pemimpin pada pilihan raya kecil Kajang, 23 Mac nanti.

Dakwa mereka, sekiranya Anwar memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang nanti, dan seterusnya diangkat menjadi Menteri Besar, pergolakan dan pertembungan rakyat akan berlaku.

Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali berkata Ketua Umum PKR harus ditolak kerana ideologi yang dibawanya 'menyimpang dari ajaran Islam'.

"NGO Islam sedar bahayanya Anwar Ibrahim.. dari segi ideologi yang dia bawa jauh menyimpang dari ajaran Islam. Dari segi pegangan dia kepada ajaran Islam pun tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang dia hendak mendokong syariat Islam dengan teguh," kata beliau dalam satu sidang media di kediaman Hasan Ali pada Isnin.

Katanya apa yang dibimbangkan adalah sifat-sifat yang dimiliki oleh Anwar yang didakwanya mempunyai 'sifat-sifat kedajjalan', namun beliau menafikan menuduh Anwar seorang 'Dajjal'.

"Di sini saya hendak nyatakan 10 sifat-sifat kedajjalan, terpulang kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menggunakan akal dan cuba memikirkan samada sifat-sifat ni ada atau tidak pada mana-mana pihak. Saya tidak buat dakwaan tetapi saya minta tuan-tuan dan puan-puan fikir," katanya.



Berikut merupakan 10 sifat-sifat kedajjalan yang telah disebutkan oleh Aidit, yang dikaitkan dengan Anwar:

1. Orang-orang yang ada sifat dajjal akan sesuaikan hukum Allah dengan akal dan kepentingan diri. Contohnya fahaman liberalisme dan rasionalisme.

2. Suka pada tarikan dunia, syahwat songsang dan meringankan yang haram.

3. Suka dan berani mencabar ketuhanan. Contohnya mengganggap Islam sama rata dengan agama lain.

4. Ada kemahiran luar biasa menundukkan orang.

5. Suka memutar belit kebenaran.

6. Boleh membuat perkara hina tetapi masih lagi ada masyarakat yang menganggap dia berpengaruh.

7. Yang haq (benar) dikata batil (tidak benar), dan yang batil dikata haq.

8. Suka wujudkan (keadaan) porak peranda. Contohnya perkara yang boleh diselesai dengan kata sepakat, sebaliknya dibawa ke jalanan.

9. Ada kaitan rapat dengan golongan Yahudi.

10. Rapat dengan ramalan bersifat kedukunan.

-mymassa-